Jangan guna alasan takut Parlimen tergantung bagi halang PRU diadakan - Ahmad Zahid
Rahimah Abdullah
Ogos 22, 2022 11:10 MYT
Ogos 22, 2022 11:10 MYT
KUALA LUMPUR : Jangan menggunakan alasan takut Parlimen tergantung seperti cuba dikhabarkan sebelum ini, bagi menghalang pilihan raya umum (PRU) diadakan, tegas Presiden UMNO Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, seorang penganalisis politik baru-baru ini jelas menyatakan tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku Parlimen tergantung.
"Baru-baru ini, Profesor Sains Politik dan Demokrasi tersohor, Dr Wong Chin Huat memberikan pencerahan mengenai isu Parlimen tergantung.
"Menariknya, beliau menyampaikannya dalam Simposium Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri siang semalam.
"Profesor Sains Politik dan Demokrasi tersebut menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku hung Parliament atau Parlimen tergantung," katanya dalam satu status terbaharu yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada Isnin.
BACA: Tidak perlu takut Parlimen tergantung, UMNO hanya akan rugi jika terus kekal bergolak - Penganalisis
Justeru katanya, Parlimen tergantung bukan situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu, malah tidak menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk.
"Sebaliknya, kita perlu ada pemahaman politik komparatif yang lebih dalam sistem politik. Kerajaan New Zealand 1996-2020 terbentuk daripada itu akan tetapi tetap maju dan stabil.
"Autoriti pencerahan oleh Profesor Sains Politik tersebut mampu memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik semasa," ujarnya.