Jangan ghairah keluar kenyataan jejas kredibiliti UMNO - Syed Ali

Astro Awani
Februari 7, 2017 23:10 MYT
SYED ALI: Syed Ali mengingatkan pemimpin UMNO supaya menunjukkan keperibadian baik dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan parti. - Gambar fail
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan pemimpin UMNO supaya menunjukkan keperibadian baik dan tidak ghairah mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti parti di mata rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, setiap perlakuan dan kenyataan dikeluarkan pemimpin akan menjadi cermin tontonan yang boleh mempengaruhi sokongan rakyat terhadap parti.
"Rakyat terutama anak-anak muda sedang memerhati tingkah laku dan perbuatan pemimpin politik termasuk UMNO, kalau buruk, buruklah tanggapan mereka.
"Walaupun mungkin perkara sedemimkian dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi perlakuan pemimpin UMNO di setiap peringkat akan menjadi kayu pengukur kepada masyarakat menilai sejauhmana perangai dan akhlak mereka.
"Apabila pemimpin UMNO dinilai dengan persespi negatif, implikasinnya akan terpalit kepada parti dan sedikit-sebanyak mengundang ketidakpercayaan rakyat terutama sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin hampir," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Dalam pada itu Syed Ali menjelaskan, keadaan menjadi bertambah sukar apabila rakyat bukan sekadar mempertikaikan kredibiliti pemimpin terbabit, sebaliknya secara tidak langsung meletakkan rasa benci dan marah terhadap pucuk pimpinan tertinggi UMNO.
"Adakalanya umum menunding jari kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terpaksa memikul beban kesan daripada perbuatan tersebut.
"Kita tidak mahu ini berlaku, apabila ada perlakuan pemimpin UMNO menyakitkan mata rakyat, mereka meletakkan kesalahan tersebut di atas bahu Najib, ini sudah tentu tidak adil dan membebankan parti," tegasnya.
Menurut Syed Ali, dalam kedaan persekitaran politik UMNO yang berdepan dengan cabaran cukup getir, setiap pemimpin perlu menzahirkan tindakan yang selari dengan presiden parti.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal kerana kadangkala terdapat beberapa kenyataan daripada pemimpin yang dilihat tidak menyumbangkan kebaikan kepada parti dan kepimpinan tertinggi.
"Ada yang mendakwa, sejak akhir-akhir ini seperti satu kecenderungan pemimpin parti yang lebih gemar mengeluarkan kenyataan berbau kepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu.
"Apabila kecenderungan itu tidak terkawal, ia akan menebalkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap UMNO dan akhirnya menghakis keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap parti," jelasnya.
Dalam suasana untuk berdepan dengan blok pembangkang, Syed Ali menambah, semua peringkat kepimpinan parti sewajarnya mengambil pendirian yang selari dengan kepimpinan presiden dengan menyusun gerakan besepadu menentang pihak lawan.
Sebagai contoh kata beliau, Najib selaku Presiden UMNO baru-baru telah mengingatkan setiap pemimpin parti supaya meningkatkan usaha mendekati rakyat terutama pengundi di kawasan masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU ke-14.
Justeru kata beliau, ingatan tersebut perlu diterjemahkan di peringkat akar umbi dengan menyantuni rakyat bagi mengikis tanggapan kononnya mereka hanya dikunjungi apabila tarikh pilihan raya semakin hampir.
"Ini yang kita kena ubah, kita perlu dekati rakyat dan golongan sasaran bukannya secara bermusim. Menjadi tanggungjawab pemimpin UMNO untuk meleraikan kekusutan dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali selaku Bendahari Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan berkata, rakan-rakan komponen juga perlu lebih pro-aktif untuk mengajak pengundi muda bukan Melayu supaya lebih memahami aspirasi perjuangan BN.
"Hari ini, generasi muda lebih terarah pemikiran mereka kepada persepsi dimainkan oleh parti-parti pembangkang terutama yang dicanangkan menerusi media sosial," ujarnya.
Mengenai perkembangan hubungan Pas dengan blok pembangkang, beliau menjelaskan pendirian Pas yang telah mengambil ketetapan memutuskan hubungan politik dengan pakatan tersebut perlu dihormati.
Bagi UMNO tambah beliau, perkembangan tersebut jelas membuktikan blok pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan sudah mengalami keretakkan dan hilang sokongan daripada sebahagian orang Melayu yang menyokong Pas.
Beliau bagaimanapun menegaskan, dalam banyak perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini, Pas dan UMNO boleh duduk semeja dan merintis jalan kepada permuafakatan politik.
"Jika Pas dan UMNO bergabung atas dasar politik untuk kepentingan umat Islam, ianya satu perkembangan baik, sama ada kerjasama itu berlaku atau sebaliknya, terpulang kepada pemimpin tertinggi kedua parti itu," tegasnya.
#BN #Datuk Seri Syed Ali Alhabshee #PRU #UMNO
;