Jangan fitnah pemimpin Bersatu untuk rebut jawatan dalam PKR - Wan Saiful

Astro Awani
Ogos 13, 2018 17:53 MYT
Kata Wan Saiful, perangai buruk tidak berakhlak ini bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam Harapan. - Gambar fail
Tuduhan liar pemimpin PKR terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin menjejaskan hubungan antara parti komponen Pakatan Harapan (Harapan), kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
Beliau juga mendesak agar PKR tidak melibatkan Dr Mahathir dan Daim dalam persaingan merebut jawatan dalam pemilihan parti itu.
"Rakan-rakan dalam PKR wajar menjadi lebih beradab...Dalam keghairahan mencari jawatan dalam parti, berbicaralah mengenai hal parti sendiri dan jangan memfitnah pemimpin parti lain.
"Dalam kami menghormati persahabatan yang dibina, janganlah pula ada pemimpin parti lain yang celupar memfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Portal The Malaysian Insight dalam laporannya awal hari ini mendakwa calon dalam kumpulan Reformasi 2.0 mengaitkan hubungan baik Azmin dan Dr Mahathir serta Daim sebagai usaha untuk menyekat Anwar dari menjadi perdana menteri.
Mereka juga mendakwa Dr Mahathir dan Daim menaja sesetengah pemimpin PKR untuk memusnahkan parti itu dari dalam.
Dalam pada itu, Wan saiful menggesa pemimpin PKR bertindak tegas dan menyatakan rasa tidak setuju mereka dalam perkara itu jika tidak mahu melihat rakyat menganggap mereka setuju dengan tindakan itu.
"Perangai buruk tidak berakhlak ini bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam Harapan. Jangan heret orang lain masuk ke dalam perpecahan teruk parti sendiri," katanya.
#Azmin Ali #Bersatu #Daim Zainuddin #Dr Mahathir Mohamad #Malaysia #PKR #Rafizi Ramli #Wan Saiful Wan Jan
;