Jangan diperalat pihak tertentu demi kepentingan diri - Tian Chua
Fareez Azman
Disember 17, 2020 15:07 MYT
Disember 17, 2020 15:07 MYT
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengingatkan semua pemimpin parti pembangkang agar tidak diperalatkan oleh pihak tertentu demi kepentingan diri.
Malah ketika ini jelasnya, bukan masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak susulan kegagalan blok pembangkang menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
Sebaliknya, fokus utama ketika kata Tian Chua, adalah bergabung semula dan mengembangkan rakan baharu dalam Pakatan Harapan (PH) sepertimana menjadi prinsip PKR sejak awal ditubuhkan dahulu.
"Ini adalah nasihat atau ini adalah satu pengalaman yang kita telah lalui. Pada peringkat ini kita tidak perlu menuding jari kepada sesiapa yang lakukan strategi tidak tepat dan lain-lain.
"Penting sekarang ini, kita secara ikhlas dan terbuka duduk semula untuk menyusun kembali apa arah tuju gabungan pembangkang dan kita juga perlu lihat semula, sentiasa berkembang mendapatkan rakan baharu.
"Tapi saya setuju, kita harus ingat, jangan diperalatkan mana-mana pihak untuk kepentingan diri. Itu adalah prinsip atau nasihat yang tepat.
"Saya rasa, kita tidak perlu buat spekulasi bahawa ini adalah untuk menuduh sesiapa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Dalam pada itu, tambah Tian Chua, pada peringjkat ini bukan masanya juga untuk membincangkan dalam kalangan pemimpin pembangkang mengenai soal jawatan siapa ketua pembangkang, Perdana Menteri atau Menteri.
"Yang penting rakyat ingin melihat, apa yang kita perjuangkan adalah relevan kepada masalah masyarakat dan negara. Saya agak semua parti pembangkang harus tumpu kepada perkara ini, terutama sekarang dalam ekonomi merosot dan ramai dalam kalangan rakyat dalam keadaan menderita.
"Saya rasa adalah sangat penting bahawa gabungan pembangkang ini, beri arah tuju baharu kepada rakyat dan menabur balik optimisme dalam kalangan orang ramai," katanya lagi.
Tian Chua menambah, bahawa beliau bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu agar anjakan politik semula dilakukan.
"Prinsip kami (PKR) adalah menggabungkan kekuatan pembangkang yang ada, walaupun berbeda ideologi atau sejarah perjuangan. Matlamat kita sepanjang perjuangan PKR adalah bergabung dengan semua parti-parti pembangkang.
"Saya mengalu-alukan kenyataan yang juga menekan balik prinsip utama perjuangan kita dari awal," kata Tian Chua lagi.
#Lim Guan Eng
#Tian Chua
#Mohamad Sabu
#PKR
#DAP
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#Parti Amanah Negara
#Dewan Rakyat
#Perdana Menteri
#Belanjawan 2021
#politik
#blok pembangkang
#Ketua Pembangkang
#jawatan
#menteri