'Jangan dengar khabar angin pemimpin UMNO dilucut keahlian' - Shahrizat
Wan Syamsul Amly
September 3, 2015 15:43 MYT
September 3, 2015 15:43 MYT
Semua pihak diminta tidak mempercayai khabar angin yang mengatakan ada pemimpin parti akan dipecat pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 9 September ini.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pelbagai versi khabar angin hanya menjadikan kekeliruan kepada semua ahli parti.
"Saya percaya semua tindak tanduk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibuat dengan penuh bijaksana.
"Jangan dengar khabar angin. Saya sendiri mendapat WhatsApp itu, setiap hari senarainya berubah-ubah," katanya semasa sidang media selepas perjumpaan tertutup Wanita UMNO bersama Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beberapa pesanan di applikasi pesanan, WhatsApp sejak beberapa hari ini menyatakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafiee Apdal, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa pemimpin parti lain akan digugurkan keahlian daripada UMNO pada Mesyuarat MT 9 September ini.
Seramai 191 ketua bahagian Wanita UMNO seluruh negara hadir atau menghantar wakil pada perjumpaan tersebut.
Dalam perkembangan Shahrizat turut meluahkan rasa kecewanya dengan kehadiran bekas Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke perhimpunan Bersih 4 pada Sabtu lepas.
"Kita kecewa apa yang berlaku dengan Bersih 4. Kerajaan sudah beri kebebasan undang undang namun apa yang terjadi menyedihkan.
"Kami Wanita UMNO tidak akan maafkan mereka yang memijak gambar pemimpin negara, tidak kira wajah Najib atau Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Wanita tidak mudah dicucuk hidung. Kita juga kecewa Dr Mahathir hadir perhimpunan itu. Kita tidak boleh biar perkara sama berlaku lagi," jelasnya.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Dr Mahathir akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berikutan ucapannya dalam perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu.
Jelas Khalid, polis akan merakam percakapan bekas Perdana Menteri itu dalam masa terdekat.