Jangan cemari fikiran belia dengan politik tidak sihat - Adam Adli
Bernama
Julai 8, 2023 20:26 MYT
Julai 8, 2023 20:26 MYT
KANGAR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim menasihati semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini agar tidak mencemarkan fikiran golongan belia dengan unsur-unsur politik kotor.
Beliau berkata pihak terbabit termasuk parti dan pemimpin politik hendaklah berkempen dalam keadaan yang memberi kebaikan serta manfaat kepada golongan belia.
"Jangan biarkan mereka terjebak dengan perkara yang tidak sihat seperti politik bersifat tohmahan, cacian dan kasar sebaliknya bagi peluang kepada golongan belia untuk melihat politik sebagai satu wadah yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri Perlis di sini hari ini.
Turut hadir Exco Belia dan Sukan Perlis Muhammad Azmir Azizan, Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan Gan Ay Ling serta Pengarah JBSNPs Nizam Mat Daud.
Adam Adli, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan, menasihati golongan belia agar menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN akan datang kerana ia merupakan peluang untuk menterjemahkan pendapat mereka secara undian.
"Saya harap golongan belia dengan semangat dan sikap yang kritikal boleh buat perbandingan dalam memilih calon pemimpin dengan cara yang sihat," katanya.
-- BERNAMA