Jangan buka aib parti kepada umum - Presiden SUPP

Rohana Wahed
Jun 4, 2018 18:32 MYT
Datuk Dr Sim Kui Hian mengakui kecewa dengan sikap lima pemimpin terbabit, yang dianggapnya membuka pekung SUPP.
Prestasi buruk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi alasan lima pemimpin parti tertua di Sarawak itu mendesak Setiausaha Agung parti, Datuk Sebastian Ting melepaskan jawatannya.
Lima pemimpin parti Cawangan Dudong yang mahu Sebastian undur diri ialah Pengerusi Cawangan, Wong Ching Yong; Timbalan Pengerusi, Kelvin Kong Sien Chiu; Setiausaha Kong Sing Ping, Bendahari Daniel Sng Wei Siong; dan Penolong Setiausaha Dr Wong Chya Wei.
Ching Yong berkata, desakan itu dilakukan kerana Sebastian dilihat perlu bertanggungjawab ke atas prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya tersebut setelah kecundang di enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi SUPP.
"Sebastian gagal bertindak proaktif dalam memastikan SUPP beroleh kemenangan dan lebih malang, kelihatan begitu tenang hingga timbul tanggapan negatif terhadapnya.
"Lebih teruk, beliau langsung tidak tampil dengan kenyataan dan strategi baharu bagi mengembalikan maruah SUPP yang tercalar. Ini memberi tanggapan bahawa beliau gagal memikul amanah dalam parti, jawatan yang disandangnya sejak 2014," katanya.
Ching Yong menambah, keadaan itu menjadikan ahli parti semakin kecewa manakala rakyat Sarawak tidak memandang tinggi parti itu.
Mengulas isu ini, Presiden parti, Datuk Dr Sim Kui Hian mengakui kecewa dengan sikap lima pemimpin terbabit, yang dianggapnya membuka pekung SUPP.
"Kita patut berbincang, adakan perjumpaan bukan mendedahnya kepada media. Jangan membuka aib parti kepada umum.
"Masalah rumah tangga kita, selesai di rumah bukan di pasar terbuka," jelasnya pada Majlis Menaikkan Bendera Sempena Ulang Tahun ke-59 SUPP di ibu pejabatnya di sini hari ini.
Kui Hian turut terkilan apabila masalah itu tidak dibincangkan pada peringkat tertinggi parti sedangkan mereka berada dalam Jawatankuasa Pusat selain menyamakan tindakan tersebut sebagai usaha mencari publisiti untuk diri sendiri.
#Amanah #Datuk Dr Sim Kui Hian #pilihan raya #pilihan raya umum #presiden #rakyat #SUPP
;