Jangan buat spekulasi pemimpin kanan PKR Perak ditahan SPRM - Farhash Wafa Salvador
Abd Razak Mohd Ali
Februari 16, 2021 20:47 MYT
Februari 16, 2021 20:47 MYT
IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung laporan penahanan seorang pemimpin kanan PKR negeri itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata beliau dimaklumkan pemimpin itu dipanggil SPRM pada pagi Selasa untuk membantu siasatan agensi berkenaan.
Menurutnya, semua pihak diminta bertenang mengenai perkara tersebut.
"Kami berharap siasatan akan dijalankan secara telus dan semoga proses perundangan berjalan secara lancar tanpa sebarang campur tangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, portal Malaysiakini yang memetik sumber dalaman parti itu, melaporkan, SPRM telah menahan lelaki itu pada pagi Selasa selepas dia dipanggil ke pejabat agensi berkenaan untuk memberi keterangan.
Menurut laporan yang belum disahkan itu, sumber mendakwa bahawa lelaki itu ditahan atas alasan membantu siasatan berkaitan projek pembangunan di Perak.