Jangan berunding ketika parti lemah - Ahmad Zahid
Sinar Harian
Jun 23, 2024 13:15 MYT
Jun 23, 2024 13:15 MYT
PAPAR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta ahlinya supaya berpegang kepada prinsip untuk tidak melakukan rundingan ketika parti masih lemah.
Beliau berkata, soal bekerjasama dengan siapa tidak perlu diberi perhatian terlebih dahulu kerana hanya dengan kekuatan pihak lain barulah akan ada perundingan berlaku.
"Soal kita mahu bekerjasama dengan siapa, itu jangan kira. Jangan berunding ketika kita lemah, pegang ini.
"Kita berunding bila kita ada kekuatan, bina kekuatan dulu baru kita berunding, Insya-Allah orang yang berunding dengan kita itu akan bersama-sama dengan kita," katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kimanis, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kimanis, di sini, pada Ahad.
Hadir sama pada perasmian itu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan ahli UMNO supaya kekal dengan pendirian dan tidak berpaling tadah dengan tawaran yang diberikan.
"Saya ingatkan diri saya dan semua, jangan pernah jadi lalang. Kita mesti mempunyai pendirian kita utamakan parti kita.
"Soal tawaran itu soal kemudian tetapi kita bina kekuatan agar dalam perundingan, kekuatan itulah yang akan menyebabkan orang akan mengikut kita," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid sekali lagi meminta supaya kepimpinan UMNO Sabah memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Datuk Bung dan pemimpin-pemimpin UMNO Sabah, pastikan untuk kita membina kekuatan dulu barulah orang akan ikut kita.
"Tidak ada orang akan ikut orang yang lemah, pastikan itu. Berikanlah keyakinan kepada ahli-ahli kita dan pemimpin-pemimpin.
"Apabila kita membina kekuatan pasti bahawa mobilisasi masa akan bersama dengan kita," katanya. -Sinar Harian