Jangan berbalah sesama sendiri hingga 'bercerai' - Mat Sabu
Bernama
September 3, 2018 06:17 MYT
September 3, 2018 06:17 MYT
Parti komponen di bawah Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak berbalah sesama sendiri sehingga menimbulkan pelbagai masalah seperti perpecahan dan 'perceraian', kata Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata setiap parti sudah tentu mempunyai pandangan serta pendapat berbeza, namun perkara itu tidak seharusnya menjadi punca 'perceraian' antara mereka.
Beliau menarik perhatian bahawa faktor utama kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) adalah disebabkan gabungan antara PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Kalau tambah parti lain, tidak mengapa tetapi jangan (berbeza pendapat) hingga kita semua bercerai.
"Pas pun tahu gabungan ini penting sebab itu sekarang mereka bergabung dengan UMNO," katanya ketika berucap pada ceramah PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di sini malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata pelantikan seorang anggota pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merupakan satu perubahan besar yang dilaksanakan kerajaan PH dalam usaha mengubah cara pentadbiran negara.
"Jika kami tidak betul, pembangkang yang akan dedahkan," katanya.
-- BERNAMA
#berbalah
#berbeza pendapat
#cerai
#Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
#Mohamad Sabu
#Pakatan Harapan
#PAS
#pembangkang
#pilihan raya kecil
#PRK DUN Seri Setia
#seri setia
#shah alam
#UMNO