Jangan bebankan PM Najib siapa bakal calon PRU-14
Astro Awani
Julai 25, 2017 08:06 MYT
Julai 25, 2017 08:06 MYT
JANGAN bebankan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan isu pemilihan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Soal siapa yang dipilih dan siapa yang tidak terpilih bukannya isu atau tanda soal yang perlu diluahkan secara terbuka.
Apabila terlalu banyak pandangan dan saranan termasuk seperti berbau rungutan yang disuarakan sedikit-sebanyak akan memberi tekanan kepada presiden parti.
Malah saya bimbang tanda tanya siapa terpilih atau tidak terpilih sebagai calon akan bertukar menjadi seolah-olah satu ugutan terhadap Perdana Menteri.
Walaupun tidak secara nyata seperti tekanan kepada Najib, tetapi sedikit-sebanyak boleh memberi persepsi kurang elok kepada parti.
Apabila soal pemilihan calon dijadikan agenda dikhuatiri akan menyebabkan berlaku bibit-bibit perpecahan dalam parti.
Cah keting
Pemikiran sebegini semestinya amat berbahaya kepada UMNO kerana natijahnya akan berlaku perbuatan 'cah keting' menjelang PRU akan datang.
Apabila wujud keretakan dalam parti hanya disebabkan seseorang itu tidak terpilih sebagai calon, yang ruginya adalah UMNO.
Sudah semestinya keretakkan itu kemudiannya akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang sebagai modal kempen mereka.
Semoleknya serahkanlah keyakinan dan hargailah kebijaksanaan Najib untuk membuat pilihan siapa yang layak dicalonkan bagi memastikan UMNO menang cemerlang pada PRU akan datang.
Jangan ada yang mendabik dada kononnya mendapat sokongan ahli-ahli parti di peringkat bahagian kerana tidak 100 peratus daripada mereka itu merupakan pengundi tetap di satu-satu kawasan.
Sebaliknya, kita kena melihat sejauhmana penerimaan pengundi keseluruhannya, rakyat terbanyak yang kita perlu fikirkan apakah mereka menyenangi UMNO atau sebaliknya.
Calon tidak semestinya hanya mesra dikalangan ahli-ahli UMNO sahaja tetapi yang boleh diterima oleh masyarakat setempat.
Inilah keberangkaliannya Presiden UMNO melihat antara keperluan seseorang itu dipilih sebagai calon kerana Najib mengutamakan kepentingan parti, rakyat dan negara.
Saya penuh yakin, Perdana Menteri tidak akan membuat pemilihan calon disebabkan adanya tekanan atau hanya untuk memuaskan hati segelintir puak.
Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku jika semua orang terutama pemimpin UMNO memikirkan kepada keupayaan menewaskan calon pembangkang yang lebih penting.
Najib selaku Perdana Menteri sudah semestinya mempunyai kriteria dan keutamaan tertentu untuk memilih calon UMNO yang layak dinamakan sebagai wakil Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.
Sudah semestinya beliau tidak akan sewenang-wenangnya mengetengahkan calon yang boleh membawa bala kepada parti dan kerajaan BN.
Justeru, menjadikan soal pemilihan calon terutama membabitkan UMNO sebagai polemik dan perbahasan secara terbuka tidak akan mnguntungkan parti.
Matlamat kita adalah untuk memenangi PRU ke-14 dengan seberapa banyak kerusi yang mampu diraih oleh parti.
Siapa jadi calon?
Mengapa soal siapa yang bakal dipilih sebagai calon menjadi perbahasan setiap kali tibanya PRU sedangkan keutamaan parti adalah untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.
Saya selalu berpesan jangan jadikan soal pemilihan calon sebagai keutamaan sebaliknya berpegang kepada prinsip tanpa jawatan pun seseorang itu masih boleh berkhdimat dan mencurahkan khidmat bakti.
Nawaitunya mesti ikhlas dan bertanggungjawab terhadap perjuangan parti dan anak bangsa.
Kita selalu berikrar untuk memastikan UMNO mampu tegak sebagai parti orang Melayu yang kekal relevan.
Kita selalu berhujah bahawa UMNO adalah parti penyelamat masa depan orang Melayu, jadi kenapa kita begitu kemaruk kepada kuasa ?
Mengapa beria-ia sangat untuk menonjolkan diri supaya dipilih sebagai calon ?
Jangan terlalu berkira dalam perjuangan parti kerana rakyat sedang memerhati gelagat dan gerak geri pemimpin UMNO.
Ingatlah, rakyat adalah penentunya. Eloknya pemimpin UMNO dimata rakyat maka semestinya UMNO mampu memenangi PRU ke-14 dengan lebih cemerlang.
Oleh sebab itu, pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu jujur dan ikhlas untuk mengakui bahawa PRU ke-14 bukannya pertarungan mudah bagi BN berdepan dengan asakan blok pembangkang.
Ini yang penting untuk kita fikirkan, bukannya berfikir dan memasang angan-angan untuk disenaraikan sebagai bakal calon PRU.
Benar, UMNO memerlukan calon yang boleh menang untuk menyumbangkan kepada kekuatan lebih 2/3 kepada BN untuk membentuk kerajaan.
Tetapi sebagai pemimpin dan penyokong tegar UMNO, kita perlu berganding bahu dan mengambil iltizam untuk menguatkan saf perjuangan.
Soal pemilihan calon PRU biarkanlah presiden parti yang uruskan manakala kita di peringkat akar umbi berdiri teguh di belakang kepimpinan beliau.
Kita juga perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan UMNO dan BN menang lebih cemerlang pada PRU akan datang.
Malah kita seharusnya berfikir bagaimana untuk kita merampas kembali sejumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang telah dimenangi pembangkang.
Kita juga sepatutnya berfikir, bagaimana usaha kita untuk mempertahankan Perdana Menetri dan Presiden UMNO yang menjadi mangsa serangan fitrnah pembangkang.
Itu yang perlu kita fikirkan bersama, bukannya ligat berfikir bagaimana cara untuk diangkat sebagai calon pada PRU ke-14!
*Datuk Seri Syed Ali Alhabshee merupakan Ketua UMNO Bahagian Cheras dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.