Jangan bebankan PM Najib dengan isu remeh - Syed Ali
Astro Awani
Mac 7, 2017 22:58 MYT
Mac 7, 2017 22:58 MYT
Pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu mendengar pandangan dan teguran akar umbi kerana saranan tersebut merupakan input terbaik memperkukuhkan parti.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, teguran serta pandangan tersebut akan memperkukuh, menjadikan parti konsisten selain berdaya saing mempertahankan agenda perjuangannya.
"Pemimpin pula tidak boleh berasa terlalu selesa kerana yakin rakyat akan berterusan menyokong UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dikatakan semakin hampir.
"Struktur politik sudah berubah begitu pantas dengan elemen sokongan rakyat tidak menentu kerana terhimpit dengan pelbagai persepsi negatif dicanangkan pihak pembangkang," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Menurut Syed Ali, segala pandangan termasuk rungutan akar umbi merupakan gambaran sebenar sejauh mana kemampuan seseorang pemimpin itu memberikan perkhidmatan yang terbaik.
"Kita kena dengar suara mereka kerana permasalahan dikemukakan secara berterus-terang lazimnya tepat dan ikhlas, bukannnya bersandarkan sokongan yang boleh diragui kesahihannya.
"Rungutan rakyat bagaimanapun tidak hanya tertumpu ketika atau tempoh PRU semakin hampir kerana tindakan sedemikian akan mencetuskan perasaan tidak puas hati rakyat," jelasnya.
Oleh sebab itu kata beliau, pemimpin UMNO termasuk wakil rakyat perlu sentiasa turun padang menyantuni permasalahan rakyat dan bukannya dilakukan secara bermusim.
Malah katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berulang kali mengingatkan pemimpin dabn wakil rakyat supaya lebih kerap bertemu pengundi terutama peringkat akar umbi dan dengar rintihan mereka.
"Ini bermakna pemimpin kena dengar rintihan rakyat, kena cakna masalah mereka, bukannya dengar jauh-jauh dan bertemu mata setahun sekali dalam mesyuarat agung parti," tegasnya.
Tambah beliau lagi, ada sesetengah laporan mendakwa pemimpin begitu sukar untuk menerima pandangan dan teguran akar umbi kerana beranggapan teguran itu untuk menjatuhkan seseorang.
"Rakyat di bawah bersuara kerana apa yang disuarakan itu berkait dengan kehidupan mereka dan selaku pemimpin UMNO kita kena dengar keluhan mereka, bukannya hanya mahu diberikan puji-pujian melangit," tegasnya.
Menurut beliau, pemimpin UMNO di setiap peringkat kepimpinan perlu memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan di bawah bagi memastikan parti sentiasa disayangi rakyat.
"Kita tidak mahu hanya kerana disebabkan perkara kecil yang tidak dapat diselesaikan, maka umum akan menunding jari kepada Datuk Seri Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
"Tetapi inilah yang berlaku sekarang, ada pihak membebankan segala masalah kepada Datuk Seri Najib sedangkan permasalahan yang berlaku boleh diselesaikan atau diuruskan di peringkat kepimpinan bahagian mahupun negeri," jelasnya.
Menurut Syed Ali lagi, keadaan akan menjadi lebih tertekan apabila pembangkang mengambil kesempatan mengeksploitasikan keadaan dengan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada Datuk Seri Najib.
"Kadang-kadang isu dimainkan pembangkang untuk mencemarkan reputasi Datuk Seri Najib sebenarnya bukan isu dan bukannya masalah besar, tetapi sengaja disensasikan pembangkang," ujarnya.
Justeru kata beliau, setiap peringkat kepimpinan UMNO perlu memainkan peranan masing-masing secara lebih berkesan dan pro-aktif dengan tidak sengaja membebakan Perdana Menteri dengan isu remeh.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menyifatkan percakaran blok pembangkang bersabit soal pengagihan kerusi pilihan raya mencerminkan sikap tamak haloba mereka.
Beliau mendakwa, blok pembangkang membabitkan DAP, PKR, AMANAH dan PPBM hanya memikirkan siapa yang boleh meraih 'untung' pada PRU ke-14 akan datang.
"Mereka hanya kira nak untung dan siapa boleh jadi Perdana Menteri, soal kebajikan rakyat dan kepentingan negara tiada dalam agenda perjuangan politik mereka," tegasnya.