Jangan anggap MCA, Gerakan amal kaedah 'zero-sum game'
Bernama
Januari 6, 2018 04:13 MYT
Januari 6, 2018 04:13 MYT
Gerakan dan MCA tidak mengamalkan kaedah 'zero-sum game' iaitu siapa menang dia berkuasa sebaliknya sinergi mereka berkonsepkan situasi menang-menang yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia terutama masyarakat Cina, kata Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.
Bercakap sempena perhimpunan bersama MCA-Gerakan yang julung kali diadakan di sini hari ini, beliau berkata Gerakan dan MCA juga merupakan saudara seperjuangan dalam misi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Penerimaan mentaliti 'zero-sum game' tidak memberi manfaat kepada sesiapa kecuali pembangkang yang bergantung kepada perbezaan pendapat kami untuk meraih kelebihan.
"Selepas perhimpunan hari ini, kami menganggap satu undi bagi MCA adalah undi untuk Gerakan dan begitu juga sebaliknya yang akan membawa manfaat yang tidak terhingga kepada semua rakyat Malaysia," katanya pada perhimpunan bersejarah MCA-Gerakan di Wisma MCA di sini pada Sabtu.
Oleh itu, beliau juga memberi jaminan Gerakan akan memberi sokongan penuh kepada calon MCA yang bertanding pada PRU14 dan mana-mana anggota parti yang didapati mensabotaj calon MCA akan dikenakan tindakan disiplin yang ketat.
Bertemakan 'Teguh Bersama', perhimpunan bersejarah itu dihadiri kira-kira 2,500 orang termasuk pemimpin tertinggi parti dan anggota akar umbi daripada kedua-dua parti, bertujuan menunjukkan perpaduan parti serta menjalin kerjasama bagi menghadapi PRU14.
Siew Keong berkata perhimpunan bersama itu juga menaikkan lagi semangat anggota untuk penyelesaian secara bersama serta membuktikan hubungan antara Gerakan dan MCA tidak pernah sebaik ini selain ia telah mencapai tahap tertinggi dan terpuji.
"Masa sudah tiba bagi kami untuk bersatu jadi kami dapat menyatukan masyarakat Cina. Sudah tiba masanya untuk kami mengetepikan perbezaan kami dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum, kerana ia akan menentukan masa depan dan hala tuju negara," katanya.
Sementara itu, bercakap pada platform yang sama, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau optimis perkongsian antara MCA dan Gerakan untuk menghadapi PRU14 akan menghasilkan lebih banyak kerjasama pada masa depan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.
"Perhimpunan MCA-Gerakan bertemakan 'Teguh Bersama' hari ini adalah untuk mengisytiharkan MCA dan Gerakan dapat bersatu padu demi pembangunan negara," katanya.
- BERNAMA