Jangan ambil kesempatan, Amanah tidak pernah didik pemimpin gila jawatan - Mujahid

Fareez Azman
Februari 28, 2021 14:49 MYT
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan bahawa parti itu tidak pernah mendidik pemimpinnya mengejar jawatan atau kedudukan tertentu sehinggakan bertindak keluar parti. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan bahawa parti itu tidak pernah mendidik pemimpinnya mengejar jawatan atau kedudukan tertentu sehinggakan bertindak keluar parti.
Merujuk kepada tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Johor yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), jelas Mujahid, sehingga kini tiada makluman yang jelas diberikan ketiga-tiga pemimpin parti itu berhubung tindakan mereka.
"Setakat ini ada dengar di hujung telinga sahaja. Sebagai pimpinan, kita dapat tahu dari Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Aminolhuda Hassan bahawa isunya adalah 'ingin menyampaikan isu tertentu'.
"Tetapi lebih malang, kalau ketiga-tiga (ADUN) ini, mereka lompat parti jika ingin mendapatkan kedudukan dan tempat. Sebab parti Amanah tidak pernah mendidik ahli kita gila jawatan. Kedudukan itu adalah amanah yang kita pikul," jelas Mujahid ketika ditemubual Astro AWANI pada Ahad.
Kemelut politik parti Amanah - Reaksi Mujahid Yusof
Tambah Naib Presiden Amanah itu lagi, penelitian secara tuntas perlu dilakukan oleh parti Amanah dan PKR dalam menentukan sama ada tindakan menerima atau menolak tiga ADUN itu bakal memberi mudarat kepada hubungan dua parti teras Pakatan Harapan (PH) itu.
"Perkara ini diheboh-hebohkan sedangkan belum dibuat keputusan. Pukul 2 petang (Mesyuarat PKR) baru nak buat keputusan dan saya harap mereka mendengar apa kita bincang hari ini, agar keputusan di pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil perkiraan tersebut demi menjaga maslahah yang lebih besar.
"Parti-parti komponen (PH) perlu berada pada tahap kukuh dan tidak boleh pada waktu ini diambil apa-apa kesempatan yang boleh menjejaskan hubungan," katanya lagi.
Mengulas lanjut kata Mujahid, jika penyertaan ketiga ADUN terbabit ditolak PKR, maka Amanah katanya akan berbincang lanjut berkenaan tindakan displin parti.
Terdahulu, tiga ADUN Amanah dari Johor bertindak menyertai PKR pada Sabtu. Mereka masing-masing ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan serta ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.
#Anwar Ibrahim #PKR #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #Parti Amanah Negara #Astro Awani #ADUN #Amanah #presiden #rakyat #lompat parti #Naib Presiden Amanah
;