Jangan ada pihak berlagak suci, harap sokong RUU Antilompat Parti - Armizan

Hasimi Muhamad
Mei 24, 2023 08:30 MYT
Armizan berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tanpa mengira parti perlu berhenti bermain politik dan mempolemikkan isu tersebut - Foto/Astro AWANI/Rizal Rahim
KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap tidak ada pihak yang cuba berlagak suci atau 'menjadi mangsa keadaan' kononnya Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti, adalah untuk mengukuhkan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tanpa mengira parti perlu berhenti bermain politik dan mempolemikkan isu tersebut.
Sebaliknya tegas beliau, wakil rakyat terbabit perlu memberikan sokongan penuh kepada RUU AntiLompat Parti yang dijadual dibentangkan pada persidangan DUN, Khamis ini (esok).
"Jangan ada mana-mana pihak yang cuba untuk berlagak suci ataupun berlagak posisi mangsa keadaan kerana hakikatnya di Sabah sejarah lompat (parti) ini bukan hanya berlaku pada masa ini, tetapi telah berlaku sejak sekian lama.
"Kalau kita imbas di Sabah contohnya peristiwa pada 2018, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) telah pun dibentuk dan Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah tetapi kerana insiden lompat (parti), kerajaan tersebut hanya bertahan beberapa hari dan Parti Warisan (Warisan) telah memimpin kerajaan dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri.
"Begitu juga pada tahun 1994, apabila kerajaan PBS (Parti Bersatu Sabah) telah memenangi pilihan raya tetapi hanya hanya bertahan dalam tempoh lebih kurang dua minggu dan akhirnya tumbang kerana aktiviti melompat (parti)," katanya ketika ditemubual di bangunan Parlimen pada Selasa.
Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata, pembentangan RUU Antilompat Parti menggambarkan kemahuan semua parti politik yang inginkan perubahan bermakna buat politik di Sabah.
Katanya lagi, RUU tersebut turut menjadi keutamaan untuk menjunjung prinsip demokrasi, menghormati hak rakyat, serta mewujudkan kestabilan sesebuah kerajaan yang diberikan mandat melalui proses pilihan raya.
"RUU ini telah pun lama disebut-sebut dan disuarakan.
"Kita berharap sebaik sahaja RUU ini dibentangkan di sidang DUN, ia bukan hanya mendapat sokongan dua pertiga tetapi mendapat sokongan semua ADUN dalam DUN Sabah kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Negeri yang memerlukan sekurang-kurangnya (sokongan) majoriti," tambah Ahli Parlimen Papar itu.
Dalam masa sama, Armizan turut menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Negeri sengaja melengahkan pembentangan RUU berkenaan sebaliknya ia memerlukan kajian secara menyeluruh yang dibuat atas pandangan pelbagai pihak.
Ujarnya, ia termasuk untuk memastikan keseimbangan bukan sahaja bagi kepentingan parti politik tetapi suara rakyat yang diterjemahkan melalui undi.
Sementara itu, beliau menambah GRS mengalu-alukan kenyataan Mohd Shafie yang secara prinsip menyatakan bahawa Warisan menyokong keputusan Kerajaan Sabah membentangkan RUU Antilompat Parti.
#RUU Antilompat Parti #Sabah lompat parti #Politik Sabah #ADUN Sabah
;