'Jangan ada lagi suara sumbang pertikai pengampunan Najib' - Asyraf Wajdi
Sinar Harian
Februari 4, 2024 19:32 MYT
Februari 4, 2024 19:32 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO dengan tegas tidak lagi mahu wujudnya suara sumbang mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan ke atas bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menuntut semua pihak agar menghormati keputusan Lembaga Pengampunan kerana berdasarkan Perlembagaan ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Asyraf berkata, dalam masa sama semua kepimpinan UMNO termasuk di peringkat bahagian sepakat untuk meneruskan pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri itu, seperti ditetapkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
"Kita menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan sebagai institusi yang sentiasa membela dan mempertahankan Raja-Raja Melayu, kita menghormati keputusan yang dibuat kerana Perlembagaan menyatakan ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dipertikaikan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dan kita harap jangan ada suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang telah diputuskan Yang di-Pertuan Agong terdahulu dalam konteks Lembaga Pengampunan," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhir pertemuan khas tertutup ketua UMNO bahagian bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara pada Ahad.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, pertemuan itu diadakan bersama semua kepimpinan tertinggi UMNO dan sayap parti bagi menjelaskan berhubung ketetapan dibuat MKT pada Sabtu dengan semua pimpinan sepakat untuk meneruskan pembelaan terhadap bekas presiden parti itu.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Tarikh itu adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Menurut kenyataan dikeluarkan urusetia lembaga berkenaan keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu. - Sinar Harian