Jana Wibawa: Wan Saiful umum lepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu

Hasimi Muhamad
Februari 22, 2023 11:49 MYT
Wan Saiful Wan Jan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Wibawa. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menegaskan, tidak akan memegang sebarang jawatan eksekutif dalam parti sehingga namanya dibersihkan melalui proses perundangan.
"Saya telah memaklumkan hajat saya ini kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan sebenarnya saya mencadangkan supaya menggantikan individu lain.
"Dalam parti Bersatu ini banyak tokoh yang layak, boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab tetapi saya keputusan itu biar ditentukan oleh parti," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, keputusan tersebut juga diambil selari dengan prinsip dan perjuangan bagi membezakan dirinya dengan individu-individu lain yang terpalit dengan Kluster Mahkamah.
Bagaimanapun, beliau kekal sebagai Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu.
"Jadi jangan ada mana-mana pihak yang cuba menyamakan saya dengan individu-individu lain dalam Kluster Mahkamah.
"Saya dengan suka hati dan sukarela serta tanpa berbelah bahagi melepaskan jawatan saya yang berbentuk eksekutif ini sedangkan mereka mencari dan menggunakan jawatan eksekutif untuk kepentingan diri sendiri," katanya.
Dalam masa sama, Wan Saiful sekali lagi mendakwa pertuduhan yang dihadapinya bermotifkan politik yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Wan Saiful menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk perundangan sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba memburukkan namanya.
Katanya lagi, keputusan melepaskan jawatan dalam parti akan memberi kesan positif kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang teguh melaksanakan prinsip perjuangan.
"Atas dasar tersebut saya membuktikan dalam Bersatu dan PN kita tidak teragak-agak untuk melaksanakan prinsip yang kita perjuangkan dan bukan bermuka-muka untuk menggunakan jawatan demi kepentingan peribadi," tambah Wan Saiful.
Semalam, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Jana Wibawa.
Beliau turut didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.
#Bumiputera #Jana Wibawa #Muhyiddin Yassin #Wan Saiful lepas jawatan
;