James Jemut Masing meninggal dunia

Astro Awani
Oktober 31, 2021 08:01 MYT
Masing menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.05 pagi di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19. -Gambar fail
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.05 pagi di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching.
Masing sebelum ini telah dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak selepas disahkan positif COVID-19 pada 28 September lalu.
BACA: James Jemut Masing positif COVID-19, kini dirawat di HUS
[TERKINI] Tan Sri James Jemut Masing dilaporkan meninggal dunia
Masing merupakan veteran politik yang amat disegani.
Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri pada era pemerintahan Tan Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Selain itu, Masing turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.
Berusia 72 tahun pada 5 Mac lalu, Masing dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 28 September sebelum ditidurkan apabila komplikasi semakin teruk.
Pada minggu lalu, beliau dipindahkan ke Pusat Rawatan Pakar Normah untuk rawatan lanjut.
Sebelum itu, pada 31 Mei, adiknya Jantai Masing juga meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.
BACA: Pemergian adik: Masing ucap selamat tinggal dari jauh, rasa hiba tak tertanggung
Masing yang merupakan graduan Victoria University, Australia mula terlibat dalam politik pada 1983 apabila menjadi ADUN Baleh atas tiket Parti Bansa Dayak Bersatu.
Sejak itu, beliau bertahan di kerusi tersebut selama sembilan penggal, termasuk tiga penggal atas lambang PRS.
Antara jawatan yang pernah dipegang beliau sebelum ini adalah sebagai Menteri Kemajuan Tanah, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi serta Menteri Pelancongan.
Difahamkan, mayat mendiang akan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak sebentar lagi untuk urusan bedah siasat.
#James Jemut Masing #Timbalan Ketua Menteri Sarawak #meninggal dunia #COVID-19
;