Jamal akui kagumi Anwar?
Sinar Harian
Oktober 12, 2018 19:24 MYT
Oktober 12, 2018 19:24 MYT
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos secara peribadinya mengakui mengagumi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jamal berkata Anwar seorang tokoh pemimpin yang cukup hebat jati diri dan mempunyai semangat juang yang tinggi, meski pun dipenjarakan bertahun lamanya.
“Saya amat mengagumi Anwar Ibrahim kerana beberapa bulan lepas sewaktu saya dipenjarakan hampir 27 hari, saya rasa seperti 27 bulan azab dan deritanya. Saya kagum dengan keluarga Anwar yang begitu tabah saat berdepan ujian getir itu.
“Bagi saya tuduhan terhadap beliau (Anwar) liwat dan sebagainya itu antara beliau dan Tuhan kerana kita boleh bercakap tetapi kita tidak melihat,” katanya dalam satu rakaman video yang dihantar dalam WhatsApp kumpulan media.
Dalam pada itu, Jamal berkata pelbagai isu mula dimainkan pihak tertentu dalam usaha menyekat kemenangan Anwar dalam PRK Parlimen Port Dickson.
“Pertamanya isu cukai baru, isu arak, tentang isu menteri agama... saya melihat perkembangan semasa ini dimainkan untuk memberikan persepsi yang buruk kepada masyarakat terutamanya pengundi di Port Dickson terhadap kerajaan yang diwakili Anwar.
“Tujuannya adalah untuk melihat kerajaan terkini gagal dan tidak berjiwa rakyat, selain supaya pengundi di Port Dickson menolak Anwar,” katanya.
Menurutnya, permainan persepsi itu sengaja dibuat pihak tertentu untuk memastikan kegagalan Anwar bagi kerusi terbabit.
“Kita tunggu dan lihat adakah Anwar menang besar atau pun kecundang sebab ini adalah satu permainan yang kita lihat cukup licik,” katanya.
#Anwar Ibrahim
#Jamal Md Yunos
#PKR
#tokoh pemimpin yang cukup hebat jati diri
#UMNO
#UMNO Bahagian Sungai Besar