Jalin perjanjian damai antara parti selepas PRN demi kestabilan politik - BERSIH

Fahmi Izuddin
Julai 16, 2023 12:30 MYT
Bersih mendesak Anwar dan Hamzah menyatakan komitmen mereka dalam merundingkan perjanjian damai pasca pilihan raya negeri.
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH) menyeru Kerajaan Perpaduan dan pihak pembangkang untuk menandatangani satu perjanjian damai antara parti demi memastikan kestabilan politik tercapai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.
Menurut BERSIH dalam satu kenyataan, langkah itu penting bagi kedua-dua pihak menyusun satu perjanjian yang serupa dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik yang pernah dimeterai kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan pada 2021.
Katanya, MoU tersebut telah membawa kepada kestabilan politik selama 13 bulan, meluluskan undang-undang antilompat parti dan beberapa reformasi Parlimen.
"BERSIH menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan komitmen mereka bagi merundingkan perjanjian damai pasca PRN.
"Hal ini untuk memastikan pengundi, bukan sahaja di enam negeri tersebut malah rakyat yang lainnya, pelabur domestik dan asing, bahawa Malaysia akan memberi fokus kepada pemulihan semula ekonomi dengan menafikan desas-desus perubahan kerajaan di pertengahan penggal yang menyebabkan keraguan terhadap kestabilan politik dan keyakinan pasaran," katanya.
Selain itu, Bersih turut menyoroti pentingnya menghormati hasil pilihan raya dan pembentukan pemerintahan yang selaras dengan permainan politik yang adil, memberi ruang bagi pembangkang untuk bersaing secara konstruktif dan profesional.
Sehubungan itu, Bersih mengusulkan agar perjanjian damai tersebut mencakupi 10 intipati politik dan reformasi institusi termasuk, antara lain:
1. Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) supaya Parlimen ke-15 berlangsung hingga 18 Dis 2027 dan SPR membuat pra-umum tarikh pilihan raya yang tetap;
2. Mekanisme kepercayaan Parlimen termasuk pengenalan undi percaya (confirmatory vote of confidence) terhadap Perdana Menteri baharu dan undi tidak percaya konstruktif (constructive vote of no-confidence) untuk menggulingkan Perdana Menteri;
3. Pengiktirafan Kabinet Bayangan Pembangkang dengan peruntukan mencukupi untuk membayangi menteri dengan akses maklumat yang berpatutan;
4. Akta Pembiayaan Politik dengan pendanaan politik untuk parti politik untuk mencegah politik wang dan korupsi;
5. Pemerkasaan Dewan Negara sebagai penjaga hak-hak negeri bersama wakil rakyat yang dipilih; dan
6. Reformasi Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menghapuskan kawalan politik oleh Perdana Menteri.
#PRN #Bersih #kestabilan politik #perjanjian damai
;