Jahid dilantik Timbalan Presiden, Joniston Setiausaha Agung PBS

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Januari 4, 2021 22:05 MYT
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS). - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai pula menggantikan tempat Jahid sebagai Setiausaha Agung PBS.
Penstrukturan semula organisasi parti tertua di Sabah itu diumumkan Presidennya, Datuk Seri Maximus Ongkili dalam satu kenyataan pada petang Isnin.
"Pelantikan Jahid adalah di bawah kuota bumiputera Muslim. Dengan pelantikan Jahid sebagai pemimpin kedua PBS, ini bukan sahaja akan memperkukuhkan sokongan orang Islam kepada parti ini tetapi juga memastikan sokongan terus meningkat," katanya.
Tambah Ongkili lagi, Datuk Julita Majungki pula dilantik menjawat jawatan Ketua Penerangan PBS manakala ADUN Tandek, Hendrus Anding dan ADUN Telupid, Jonnybone Kurum pula masing-masing menjawat jawatan Penolong Setiausaha Agung serta Penolong Ketua Penerangan parti.
Katanya, penstrukturan semula PBS itu membuktikan PBS mendengar suara penyokong semua kaum dan agama untuk meremajakan barisan kepimpinan.
"Sebagai sebuah parti politik berbilang kaum, PBS telah memperjuangkan teras dan perjuangan utamanya, yang antara lain untuk menegakkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memerangi kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) secara berterusan, dan pendirian serta sokongan kami terhadap undang-undang lompat parti," katanya.
#Jahid Jahim #joniston bangkuai #Jahid Timbalan Presiden #Parti Bersatu Sabah #PBS #Setiausaha Agung PBS
;