Jadual calon Amanah Kuala Kangsar terganggu jika hadir sidang media - Asmuni Awi
Harits Asyraf Hasnan
Jun 7, 2016 12:34 MYT
Jun 7, 2016 12:34 MYT
Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menafikan dakwaan kononnya kepimpinan Pakatan Harapan (PH) menyekat calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli daripada ditemu bual media.
Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi yang menafikan dakwaan itu berkata, jadual Ahmad Termizi yang padat akan terganggu jika beliau menghadiri sidang media.
"Sebenarnya, kami terpaksa berbuat demikian (menghalang calon hadir sidang media) kerana calon banyak program. Dia kena bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Jadi kalau kami benarkan pihak tuan puan (temubual) jadi mengganggu, selepas satu soalan ke satu soalan akan merencatkan pergerakan calon.
"Kita tahu wartawan ini banyak soalan. Soalan-soalan 'killing question' (soalan membunuh) yang hendak ditanya. Saya pun sudah boleh agak apa benda soalan yang hendak ditanya.
"Esok atau lusa insya-Allah kita akan buat satu sesi khas yang akan kami buat dengan pihak media, kita pecahkan kepada dua, iaitu kepada media Cina dan Tamil, satu lagi sesi bersama media Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris," katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Amanah di sini hari ini.
Asmuni menjawab soalan apabila segelintir pemberita kecewa apabila jemputan media semalam memaklumkan bahawa Ahmad Termizi dijadual hadir pada sidang media hari ini.
Namun, disaat akhir beliau tidak hadir atas alasan jadual yang padat.
"Esok anda boleh tanya soalan kepada dia (Ahmad Termizi). Kami tidak sekat. Lepas itu kami mohon tidak ganggu dia sebab insyaAllah kami akan buat sidang media berkala di sini," katanya.
Sejak hari penamaan calon lalu, Ahmad Termizi belum pernah membuat sebarang sidang media mahupun kenyataan media bertulis berkenaan kempen yang dilaksanakan parti itu serta isu-isu yang menjadi fokus Amanah pada PRK di sini kali ini.