Jadikan kombinasi hujah debat Najib-Anwar kerangka dasar negara - Zahid

Sinar Harian
Mei 13, 2022 09:15 MYT
Ahmad Zahid (kiri) turut hadir pada Program Debat Perdana berlangsung di MATIC pada Khamis. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kombinasi idea yang menjadi hujah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Debat Perdana boleh menjadi kerangka kepada dasar negara.
Beliau berkata, langkah tersebut mampu menamatkan segala persoalan yang menghantui rakyat.
"Daripada segi idealisme, kedua-duanya mempunyai perkongsian. Soal yang timbul adalah bagaimana dan melaksanakannya.
"Saya lihat jika kombinasi idea antara kedua-dua tokoh ini dapat diterjemahkan sebagai sebuah pembentukan idea dan juga kerangka yang menjadi dasar negara, saya fikir tidak akan timbul lagi tentang soal yang menghantui pemikiran rakyat pada masa hadapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Debat Perdana berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini, pada Khamis.
Mengulas mengenai Debat Perdana antara bekas perdana menteri dan ketua pembangkang itu, Ahmad Zahid berkata, secara prinsipnya ia menjadi proses kepada kematangan politik.
Justeru katanya, wacana seumpama itu perlu dilakukan dengan lebih kerap.
"Tentunya wacana intelektual harus diadakan dengan lebih kerap supaya kita bukan hanya mahu merungkaikan permasalahan sesuatu kumpulan dan lebih penting supaya rakyat diberikan kefahaman," katanya.
Debat Perdana menyaksikan kehadiran seramai 400 tetamu jemputan terdiri daripada tokoh-tokoh politik, ahli korporat, pakar ekonomi, ahli akademik, mahasiswa dan orang awam.
Debat itu menyentuh dua perkara utama iaitu sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya; serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.
*Berita asal di Sinar Harian
#Debat Perdana #Anwar Ibrahim #Najib Razak #Zahid Hamidi
;