Jadikan Hari Malaysia sudut pandang pemimpin lihat hala tuju negara - Exco Srikandi

Astro Awani
Ogos 27, 2020 21:00 MYT
Kata Mizma, sepanjang pemerintahan PN dan Bersatu, sudah berkurangan isu yang membakar dan mencacatkan perpaduan antara rakyat. - Gambar fail
Hari Malaysia boleh dijadikan sebagai sudut pandang terbaik bagi pemimpin melihat hala tuju mereka dalam perjuangan negara.
Exco Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mizma Appehdullah berkata, ia juga hari memperingati penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam pembentukan negara berdaulat
"Selaku pemimpin jelas sekali saya menginginkan negara kita terus megah dan merdeka, menikmati pembangunan tanpa ada rakyat yang tercicir daripada merasai pembangunan negara.
"Harapan saya ini pasti sangat besar tetapi dengan kesepakatan ramai, dengan keharmonian dan perpaduan, pasti banyak manfaat lain yang kita dapat perolehi terutama dalam membantu membangun ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu kata Mizma, berdasarkan sejarah Persekutuan Tanah Melayu diibarat rumah dan Sabah serta Sarawak merupakan tiangnya.
"Tarikh 16 September tanda kukuhnya sebuah penyatuan bangsa merdeka dalam satu negara bernama Malaysia. Walaupun keluarnya Singapura daripada gagasan ini, namun Malaysia terus kukuh berdiri kerana tiangnya masih mendukung penuh aspirasi negara bangsa.
"Malaysia itu adalah kita, Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Tiada istilah 'kamu Malaya', 'kami Sabahan', 'tiada tempat untuk Malaya dalam Sabah', kita tetap satu, kita bangsa Malaysia," tegasnya.
Sementara itu jelasnya, keharmonian negara hanya dapat dikekalkan jika kestabilan politik dapat dicapai dan dijaga.
"Bersatu sendiri di dalam Perikatan Nasional (PN) terbukti berjaya mengharungi detik sukar COVID-19 tanpa membenarkan rakyat melalui detik lebih menakutkan berbanding beberapa negara maju di dunia," ujarnya.
Tambahnya, sepanjang pemerintahan PN dan Bersatu, sudah berkurangan isu yang membakar dan mencacatkan perpaduan antara rakyat.
"Rakyat sudah mula kembali bertoleransi antara satu dengan yang lain. Inilah sebenarnya harapan rakyat dapat menikmati kehidupan dengan selesa kerana makna Hari Malaysia itu juga adalah penyatuan dan kebebasan rakyat daripada pemerintahan kolonial," katanya.
#ekonomi #Melayu #Merdeka #perpaduan #politik #Singapura
;