Jadi Perdana Menteri? Bukan gagal, cuma belum lagi... - Anwar Ibrahim
Hasimi Muhamad
Mac 15, 2021 18:10 MYT
Mac 15, 2021 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Bukan gagal (jadi Perdana Menteri), cuma belum lagi…
Demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai perasaannya apabila gagal menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan (PH) diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN) pada Februari tahun lalu.
Menerusi temu bual bersama akhbar Mingguan Malaysia terbitan Ahad, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mengakui, beliau masih boleh menjadi calon Perdana Menteri bagi PH.
Jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, sekiranya sokongan diberikan oleh rakyat, beliau akan terus menjaga kepentingan terutamanya rakyat bawahan.
“Saya tahu yang kaya raya ada duit berbilion-bilion itu memang tak berapa setujulah (saya jadi Perdana Menteri). Tokoh yang billion-bilion ini, dia memang takut dengan saya.
“Saya ingat rakyat lebih faham dan lebih selesa,” katanya memetik laporan tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar yang sebelum ini dijanjikan jawatan Perdana Menteri ketika pemerintahan PH berkata, ‘kejatuhan' PH bukan sesuatu yang mengejutkan.
Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu yang memberikan pandangan berhubung perkara itu.
“(Bekas Peguam Negara) Tommy Thomas (juga) ada pandangannya (mengenai kejatuhan PH) dan pelbagai yang lain turut ada pandangan masing-masing. Tapi pada fahaman saya, hal ini bukan satu kejutan.
“Telah ada satu persiapan yang lebih awal termasuk kelompok yang khianat daripada PKR dan Bersatu, dan saya juga ada hubungan dengan pemimpin UMNO, yang beri gambaran sedemikian,” jelasnya.
Anwar juga mengakui bahawa telah berjumpa dengan Dr Mahathir sebaik kejatuhan PH.
“Dia kata semua okey, jadi saya pun faham lah. Tapi sekarang ini ia sudah terdedah, kita ada rakaman audio, kita ada kenyataan, malah kenyataan ustaz Hadi Awang (Presiden Pas) misalnya.
“Maksudnya perkara kejatuhan PH itu berlaku dengan direncanakan konspirasi itu agak lama.
“Saya kira yang berlaku ini, kalau tanpa dalangnya, maka ia tak akan berlaku. Siapa dalang itu? Umpamanya pengkhianatan dalam PKR itu sendiri, yang melakukannya tak akan ada keberanian kalau tiada back up di belakangnya secara langsung atau tak langsung. Cukup setakat itu,” jelas Anwar.
Ditanya siapa pemimpin Melayu yang berwibawa dan boleh diangkat sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata: “Itu bergantung kepada mesyuarat pimpinan parti, serta keputusan rakyat.”
Sementara itu, Anwar berkata, PH mengambil sikap terbuka sekiranya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ingin bersama-sama komponen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, keterbukaan itu termasuk tidak meletakkan syarat yang tidak munasabah, selain menzahirkan keyakinan bahawa Dr Mahathir sudah tidak memiliki sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar juga bersedia untuk bersara daripada arena politik apabila tiba masanya bagi memberikan laluan kepada generasi baharu.
Kemelut politik negara tercetus apabila Dr Mahathir bertindak meletakkan jawatannya pada 24 Februari tahun lalu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kemudian berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menerajui negara selepas semua Ahli Parlimen dipanggi menghadap untuk mengemukakan nama-nama bakal Perdana Menteri kelapan.
Sebelum ini, Anwar beberapa kali mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada Ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Istana Negara bagaimanapun berkata, Anwar sekadar mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau, tanpa mengemukakan senarai nama bagi mengukuhkan dakwaan itu.
#Anwar Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#UMNO
#Abdul Hadi Awang
#Parti Keadilan Rakyat
#Dewan Rakyat
#PRU15
#Anwar calon Perdana Menteri
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#PKR
#Perikatan Nasional