Jabatan Peguam Negara perlu bebas daripada pengaruh politik - Jaharberdeen
Fareez Azman
Oktober 18, 2020 18:39 MYT
Oktober 18, 2020 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara perlu bebas daripada pengaruh politik, kata peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Beliau mengulas mengenai susulan khabar angin bahawa beberapa pemimpin politik akan dilepaskan oleh Jabatan Peguam Negara daripada kes mahkamah berikutan situasi politik ketika ini.
Ujarnya, persepsi negatif rakyat terhadap institusi itu perlu diperbetulkan.
"Saya amat sedih sekali untuk perkara ini menjadi isu di negara ini, di mana ada persepsi bahawa Jabatan Peguam Negara boleh dipengaruhi oleh politik.
"Perkara ini amat merungsingkan dan sedih dengar benda ini... apabila berlaku persepsi sedemikian, kita jangan ada fire-fighting punya attitude, kita lihat kembali kenapa persepsi begini berlaku.
"Untuk menyelesaikan satu masalah kita kena kembali balik kepada apa yang mewujudkan masalah tersebut dan kalau kita lihat sepanjang dua, tiga tahun yang lalu... kita dapati ada beberapa orang politik dihadapkan ke mahkamah dan kita lihat selepas kerajaan baharu mengambil alih orang politik dihadapkan ke mahkamah (itu) telah dilepaskan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujarnya, tindakan sedemikian bukan hanya mencemarkan institusi itu sebaliknya memberi imej kurang baik berhubung integriti serta ketelusan badan perundangan.
"Sekarang pula wujud persepsi adakah berlaku ketidakstabilan politik tawar-menawar di antara orang politik ini... adakah Jabatan Peguam Negara akan diperalatkan dan dipergunakan untuk melepaskan beberapa orang politik.
"Pada saya, rakyat harus menjaga institusi kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan semuanya adalah institusi rakyat. Kita harus menjaganya dan tidak membenarkan orang politik untuk memperalatkan institusi ini," tegas Jahaberdeen.
Sementara itu, mengulas mengenai situasi politik ketika ini, ujarnya semua ahli politik perlu lebih matang dan fokus kepada membendung wabak COVID-19.
Lebih menyedihkan, negara ini katanya sudah dilanda pandemik politik sebelum COVID-19.
"Kita lihat masalah kita sebelum pandemik COVID-19 ini. Kita sudah ada masalah, lihat pandemik politik sejak 8 Mei 2020 sampai sekarang belum habis isu siapa Perdana Menteri dan siapa membentuk kerajaan.
"Kerajaan PH jatuh bulan Mac sambung lagi PN jadi kerajaan. Kita ada satu masalah pertama kali di Malaysia dari Mei sampai sekarang masih wujud... (iaitu) siapa akan jadi PM.
"Ini soalan sangat penting... ia akan menimbulkan satu situasi ketidakstabilan politik menakutkan para peniaga dan pelabur," ujarnya.
Justeru, polemik politik itu kata Jahaberdeen perlu diselesaikan segera sementara Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh dua tahun lagi.
Impak terhadap rakyat ketika ini perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh setiap pemimpin politik, katanya.
"Adakah Perlembagaan membenarkan kita declare satu emergency di Malaysia? Mungkin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menubuhkan satu jawatankuasa, saya percaya kita tidak perlu lebih 12 menteri, jadi kita wujud satu jawatankuasa.
"Kita perlu teliti dan terokai dengan peguam-peguam sama ada ini suasana terbaik kita ada satu komuniti jawatankuasa Malaysia mentadbir Malaysia. Di sini saya harap semua orang politik besar hati sedikit ihsan kepada rakyat sampai PRU-15," katanya.
#Yang di-Pertuan Agong
#SPRM
#Astro Awani
#PM
#Perdana Menteri
#Peguam Negara
#Rasuah
#intergriti
#COVID-19
#Pilihan Raya Umum ke-15
#pandemik
#institusi kehakiman
#Peniagaan
#pelabur
#politik