'Itu pandangan Rafizi, saya hormatinya' - Adam Adli

Madiha Abdullah
April 26, 2022 07:45 MYT
Pemilihan bagi merebut jawatan Ketua AMK menyaksikan persaingan antara Adam Adli dan Fahmi Zainol.
AYER MOLEK: Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim menghormati pandangan penyandang naib presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menyifatkan dia kurang pengalaman untuk menguruskan sebuah organisasi.
Sebaliknya, Adam Adli berpendapat apa yang lebih penting ketika ini adalah membentuk sebuah kepimpinan yang kukuh, selepas tamat pemilihan parti, Mei depan.
"Soal layak tak layak, saya serah kepada anggota, itu bukan satu ralat untuk saya. Kalau ada yang nak cucuk, saya tidak perlukan itu semua.
"Itu pandangan saudara Rafizi, kita kena hormat. Rasanya beliau tidak ada masalah, sesiapa pun saya atau Fahmi menang, kita tetap akan bekerjasama.
"Yang penting pemilihan ini bukan nak tunjuk siapa paling kuat, mampu jadi panglima tetapi selepas pemilihan nanti, apa yang kita nak buat dengan parti. Proses pemilihan ini proses demokrasi, tidak ada masalah," katanya pada majlis pengumuman calon Exco AMK Seangkatan Zon Selatan, pada Selasa.
Adam, seorang aktivis pelajar, menyertai PKR September lalu dan dikecualikan daripada peraturan parti yang melarang ahli dengan tempoh kurang daripada 12 bulan daripada memohon pemilihan untuk jawatan parti.
Pemilihan bagi merebut jawatan Ketua AMK menyaksikan persaingan Adam Adli dan Fahmi Zainol, manakala Kamil Munim dan Chua Wei Kiat akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Ketua AMK.
Terdahulu, Rafizi dalam satu sesi dialog menyatakan pendapatnya bahawa Fahmi lebih layak memegang jawatan itu kerana mempunyai pengalaman menguruskan organisasi, manakala kemampuan Adam Adli masih belum terbukti kerana masih baharu dalam arena politik.
#Adam Adli #Rafizi Ramli #Fahmi Zainol #PKR #AMK
;