Isu video intim: Najib keluarkan pantun empat kerat
Astro Awani
Julai 17, 2019 20:14 MYT
Julai 17, 2019 20:14 MYT
Isu video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus menjadi perhatian.
Terbaharu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata wujud gerakan politik untuk menjatuhkan Mohamed Azmin menerusi video tersebut.
Selain Dr Mahathir, isu tersebut turut mendapat perhatian bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang tampil dengan pantun empat kerat di laman Facebook rasminya, sebentar tadi.
"Min, steady Min. Perang gendang sudah dipalu, siapa menang belum tahu. Yang bersorak mungkin Bersatu. Apa pun, kita makan dulu," tulis Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut memuat naik pautan berita mengenai kenyataan Mohamed Azmin kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau dipercayai merujuk kepada kemelut yang didakwa sedang melanda parti tersebut.
Anwar hari ini berpendapat bahawa Mohamed Azmin yang merupakan timbalannya, perlu mengambil cuti jika video intim yang mengaitkan beliau itu sahih dirinya.
Bagaimanapun, tegas Anwar, Mohamed Azmin tidak perlu berbuat demikian jika siasatan mendapati sebaliknya.
Sebagai respon, Mohamed Azmin meminta Anwar muhasabah dan melihat cermin sewaktu menyatakan cadangan tersebut.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Haziq Abdullah Abdul Aziz
#Menteri Hal Ehwal Ekonomi
#pantun empat kerat
#Pengerusi Lembaga Penasihat BN
#Presiden PKR
#video intim