Isu tertangguh di Manek Urai perlu diselesaikan
Marlina Manaf
April 23, 2018 07:12 MYT
April 23, 2018 07:12 MYT
Harus diakui kehidupan penduduk di Manek Urai, pasca banjir besar pada 2014, telah berubah sepenuhnya.
Yang bernasib baik, masih ada kediaman untuk berteduh.
Namun bagi mereka yang sebaliknya, kediaman yang didirikan di atas tanah milik orang lain musnah akibat banjir, dan ada di antara mereka belum ada rumah tetap.
Ini merupakan isu yang mahu diselesaikan calon Barisan Nasional (BN), kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Suzaini Adlina Sukeri.
"Masih banyak lagi bantuan yang belum selesai di Manek Urai, khususnya selepas banjir, banyak lagi penduduk yang tiada rumah, mereka tak dapat tinggal dalam kediaman selesa, atas faktor isu tanah," jelas Suzaini kepada Astro AWANI.
Suzaini adalah antara lima calon wanita yang ditampilkan pada pilihan raya umum kali ini.
Mengulas persepsi umum terhadap kemampuan calon wanita, Suzaini mengakui ia perkara biasa.
Namun beliau yakin calon wanita akan bawa pesona berbeza kali ini.
"Memang mencabar, sebab saya berkemungkinan akan berdepan dengan calon Pas, yang juga muka lama, dalam kedudukan saya sebagai calon baru, tetapi kita akan pastikan amanah ini diusahakan dengan sebaiknya," ujar Suzaini.
Selain Suzaini, empat lagi calon wanita yang menerima watikah pelantikan adalah Dayang Saniah Awang Hamid (N.26 DUN Bukit Panau), Nurul Amal Mohd Fauzi (N.19 DUN Demit), Zarina Md Eusope (N.07 DUN Panchor) dan Madihah Abd Aziz (N.08 DUN Tanjung Emas).
Bagi kerusi DUN Manek Urai, Suzaini dijangka berdepan calon dari Pas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, calon Pas Mohd Fauzi Abdullah menang kerusi Manek Urai dengan 7,802 undi, mengalahkan calon BN Che Jalal Muda dengan majoriti 1,633.