Isu sokong MB Selangor: Mana ada kartel? - Muhyiddin

Umavathi Ramayah
Mac 11, 2024 13:16 MYT
Muhyiddin Yassin menegaskan, BERSATU bergerak berdasar perlembagaan dan memiliki peraturan yang perlu dipatuhi. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: "Mana ada kartel, kalau kartel, (maksudnya) berkartel dengan dialah?"
Demikian kata Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari yang kononnya Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dikuasai 'kartel' sehingga beliau bertindak menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sebaliknya, Presiden BERSATU itu menegaskan, parti tersebut bergerak berdasarkan Perlembagaan dan memiliki peraturan yang perlu dipatuhi.
"Tiada kartel, dia kata kartel, mana ada kartel? Parti ini bergerak atas dasar Perlembagaan, ada peraturan.
"Datuk (Abdul) Rashid pun jadi Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan (BERSATU) negeri. Kalau kartel, (maknanya) berkartel dengan dialah.
"Jangan cari sebab atau dalih apabila melakukan kesilapan besar, malah tuduh parti buat itu, satu perbuatan tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan cadangan pindaan perlembagaan parti itu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), di sini, pada Isnin.
Abdul Rashid merupakan ADUN pertama dari Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Malah, beliau menyifatkan, keputusan tersebut dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, BERSATU akan melucutkan keahlian enam Ahli Parlimen parti itu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membenarkan pindaan Perlembagaan parti.
Beliau berkata, ia selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Khas BERSATU, yang meluluskan pindaan pindaan Perlembagaan parti itu berhubung perlucutan keahlian bagi wakil rakyat yang menyokong lawan.
Sehubungan itu beliau berharap, tiada ada halangan daripada RoS berhubung keputusan parti itu.
"Saya juga memohon Ketua Pengarah (RoS) (Mohd Nawardi Saad), memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya dalam tempoh yang seberapa segera.
"Dalam pertemuan tadi, pegawai RoS memaklumkan dari segi teknikalnya adalah teratur," kata Muhyiddin.
Enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Penganalisis politik, Dr G Manimaran sebelum ini dilaporkan berkata, status mereka dijangka kekal sebagai Ahli Parlimen kerana tindakan itu dibuat sebelum pindaan Perlembagaan parti berkuat kuasa.
Menurutnya, sebarang tindakan yang berkaitan pindaan tersebut bergantung kepada tarikh ia dikuatkuasakan, memberi maksud Ahli-Ahli Parlimen berkenaan adalah terkecuali.
#kartel #Muhyiddin Yassin #Bersatu #Abdul Rashid Asari
;