Isu RM90j: Deritanya luar biasa - Tuan Ibrahim

Sinar Harian
Februari 28, 2019 07:34 MYT
TUAN IBRAHIM: Kalau fitnah dengan duit kepada orang susah (Pas), sakitnya luar biasa, deritanya luar biasa. -Gambar fail
“Kalau fitnah dengan duit kepada orang susah (Pas), sakitnya luar biasa, deritanya luar biasa.”
Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengulas fitnah melibatkan wang RM90 juta yang mengaitkan parti tersebut.
Menurutnya, Pas dibina bukan atas permaidani merah sebaliknya dibina atas keringat dan sumbangan ahlinya.
“Berpuluh pemimpin Pas bila nak bertanding, dia jual harta, jual tanah. Kita orang susah tuan-tuan, Pas orang susah.
“Bila fitnah dengan duit kepada orang susah, sakitnya, deritanya luar biasa. Kalau orang tuduh lain kita boleh tahan lagi,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana anjuran UMNO dan Pas di sini, malam tadi.
BACA: Clare sahkan Hadi bayar RM1.4j secara rahsia selesai kes saman
Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon BN bagi PRK DUN Semenyih, Zakaria Hanafi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentikan segala fitnah kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ia berkaitan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah Presiden Abdul Hadi kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown adalah tanpa sebarang kos.
“Isu Sarawak Report, kedua-dua pihak setuju selesai luar mahkamah, kalau Pas setuju mereka tak setuju tak juga selesai. Pas boleh teruskan tapi akan habis empat, lima juta.
“Baik kita derma orang susah, kita buat markas, buat tahfiz, malah kalau kita menang pun, pampasan yang kita dapat tak sepadan dengan yang kita habis.
"Ada pula kata jumpa dokumen yang ada kos, cukuplah. Anwar menderita kerana fitnah dan rasa bagaimana suasana fitnah jadi saya fikir cukuplah. Jangan ulang benda yang sama kepada Presiden Pas," katanya.
Kelmarin, Anwar mendakwa mempunyai dokumen transaksi bank melibatkan pembayaran berkenaan namun enggan berkongsi maklumat lanjut.
#Abdul Hadi Awang #Anwar Ibrahim #isu RM90 juta #PAS #Tuan Ibrahim Tuan Man
;