Isu Rembau: Tindakan untuk main sentimen rakyat - Khairy

Bernama
Mei 2, 2018 17:56 MYT
Khairy beramah mesra dengan penduduk sebuah kampung sempena Kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, pada 1 Mei. - Bernama
Kemenangan tanpa bertanding Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sengaja dijadikan isu oleh pembangkang bagi menaikkan sentimen rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Ketua Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata di Parlimen Rembau tiada isu yang berbangkit tetapi sengaja dicipta bagi membangkitkan kemarahan rakyat.
"Orang di Parlimen Rembau dah biasa dengan kami (BN) dan kami tak ada masalah. Ini bukan masalah di Rembau, tetapi dia (Naib Presiden PKR Rafizi Ramli) sengaja nak memainkan sentimen macam dia mainkan isu 40,000 pengundi Bangladesh (pada PRU13) dan saya yakin akan ada lagi (isu yang akan dibangkitkan) pada hari-hari mendatang.
"Cerita Rantau ini baru siri pertama. Ini adalah momentum pembangkang untuk menimbulkan kemarahan rakyat dengan mempertikaikan kewibawaan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk mempengaruhi undi pada saat-saat terakhir. SPR kena cepat bertindak untuk menjawab," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi 'walkabout' atau tinjauan mesra di pekan Rembau di sini.
Pada hari penamaan calon di Dewan Seri Rembau Sabtu lepas, Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan dan penyandang kerusi DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004 diumumkan menang tanpa bertanding selepas calon PKR Dr S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa pas calon seperti disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.
Mengulas mengenai kenyataan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Dr P. Ramasamy dalam ceramahnya semalam di Pulau Pinang yang mendakwa parti itu mempergunakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menarik sokongan kaum Melayu kepada Pakatan Harapan, Khairy yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau selama dua penggal sejak 2008 berkata mengundi PKR pada PRU14 adalah untuk DAP.
"Sesiapa yang nak mengundi Tun Mahathir ini kena ingat di belakangnya adalah DAP," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kempen yang telah memasuki setengah daripada 11 hari tempoh kempen yang ditetapkan SPR semakin rancak.
"Selekoh yang terakhir ini akan lebih rancak dan meriah. Saya nampak sebahagian besar daripada pengundi telah membuat keputusan dan bilangan di atas pagar semakin kecil," katanya.
Pada PRU14 ini, Khairy akan ditentang calon PAS Mustafa Dolah dan Lt. Kol (B) Roseli Abdul Ghani daripada PKR.
Pada PRU13, Khairy menang dengan majoriti 18, 357 undi menewaskan dua pencabarnya Radzali A. Ghani daripada PKR dan Abdul Aziz Hassan, Bebas.
-- BERNAMA
#Bantahan #Barisan Nasional #Khairy Jamaluddin #KJ #MalaysiaMemilih #pembangkang #pilihan raya #politik #protes #PRU14 #Rantau #Rembau
;