Isu Pulau Pinang: Anthony Loke saran Sanusi buka semula buku perlembagaan

Adie Sufian Zulkefli
Mei 30, 2023 17:30 MYT
Loke berkata sebagai Menteri Besar, Muhammad Sanusi sepatutnya memahami prinsip Rukun Negara, antaranya Keluhuran Perlembagaan. - Foto Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencadangkan agar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membeli dan membaca buku perlembagaan bagi memahami perjalanan negara yang mempunyai 13 buah negeri termasuk Pulau Pinang.
Beliau berkata sebagai Menteri Besar, Muhammad Sanusi sepatutnya memahami prinsip Rukun Negara, antaranya Keluhuran Perlembagaan.
"Perlembagaan Persekutuan itulah yang akan memandu perjalanan sesebuah negara. Dalam Perlembagaan Persekutuan kita ada 13 buah negeri. Kalau Menteri Besar Kedah tidak faham saya cadangkan dia beli dan baca balik Perlembagaan Persekutuan. Kita ada 13 negeri termasuk Pulau Pinang," katanya.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel di Sungai Petani, pada Selasa.
Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Semalam media melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.
Muhammad Sanusi berkata pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.
Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR, berkata sebagai rakyat Kedah beliau jarang berjumpa dengan seorang Menteri Besar yang suka mencetuskan kontroversi yang tidak perlu.
Katanya, isu antara Kedah dan Pulau Pinang sudah pun selesai di peringkat kerajaan Persekutuan dan setiap pihak perlu bergerak ke depan daripada membangkitkan perkara yang dianggap sebagai tidak produktif.
"Saya jarang sangat dengar menteri besar, ulas benda-benda sebegini daripada bangkit soal Pulau Pinang hak Kedah, isu pampasan hendak sekat air, saya fikir sampai masa rakyat Kedah celik bahawa kita perlu kepada pemimpin yang mengambil berat soal rakyat daripada hendak mencetuskan kontroversi dan perkara yang tak perlu," katanya.
Tambah Saifuddin, sebagai Menteri Besar, Muhammad Sanusi sepatutnya memberi tumpuan menjaga kebajikan rakyat termasuk memulihkan gangguan bekalan air bersih dan membantu kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan angka kemiskinan tegar di negeri itu.
#pulau pinang #Muhammad Sanusi Md Nor #Anthony Loke #hak Kedah
;