Isu pengampunan Najib: UMNO Kelantan timbang putus hubungan dengan Amanah Kelantan - Zawawi
Vivi Sumanti
April 29, 2023 17:28 MYT
April 29, 2023 17:28 MYT
KOTA BHARU: UMNO Kelantan tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di negeri itu.
Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman berkata ianya susulan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"UMNO Kelantan mendesak Khalid memohon maaf secara terbuka kepada UMNO lanjutan daripada kenyataan beliau.
"Sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyingung perasaan ahli UMNO keseluruhannya, UMNO Kelantan akan mempertimbangkan memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di Kelantan," katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini Amanah dilaporkan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkannya Khalid berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.
Zawawi berkata, sebagai rekod, rayuan pengampunan diraja yang dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia.