Isu pembatalan Ordinan Darurat? Ini 5 perkara dibangkitkan di Parlimen
Astro Awani
Julai 27, 2021 15:51 MYT
Julai 27, 2021 15:51 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Keempat Belas yang memasuki hari kedua sekali lagi 'panas' dengan Ordinan Darurat yang telah dibatalkan pada 21 Julai lepas.
Beberapa Ahli Parlimen bangun mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hasan memberikan penjelasan.
Pun begitu, Takiyuddin memaklumkan, beliau akan memberi penjelasan mengenai semua perkara berkaitan Ordinan Darurat, termasuk pembatalannya di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Kenyataan itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hari dalam kalangan pembangkang.
Meskipun didesak berulang kali, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tetap dengan keputusannya mengarahkan penjelasan berhubung pembatalan Ordinan Darurat dibuat pada Isnin depan.
Beliau menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi memastikan setiap pembahas dan prosedur Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dilaksanakan mengikut perancangan serta masa tertentu.
Berikut antara fokus utama Mesyuarat Khas pagi ini yang lebih menjurus kepada perdebatan mengenai Ordinan Darurat:
1. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) mendesak Takiyuddin memberi penjelasan dan menggesa beliau tidak berhelah dengan hanya akan memberi penjelasan pada Isnin nanti.
2. RSN Rayer (Jelutong - PH) mempersoalkan pembatalan tersebut dan mendakwa penasihat undang-undang di Pulau Pinang masih tidak dimaklumkan dengan pembatalan itu.
3. Gobind Singh Deo (Puchong - PH) mendesak Takiyuddin memberi penjelasan adakah pembatalan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Perlembagaan.
4. Anwar Ibrahim menasihati Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun agar tidak bersekongkol dengan Takiyuddin yang mengelirukan Dewan.
5. Lim Guan Eng (Bagan-PH) turut mempertikaikan pembatalan tersebut yang disifatkan sebagai satu perkara yang tidak boleh diterima.
#Dewan Rakyat
#Gobind Singh Deo
#Lim Guan Eng
#Anwar Ibrahim
#Ordinan Darurat
#Mesyuarat Khas Parlimen
#Azhar Azizan Harun
#Parlimen