Isu MN dan PN: Pegang amanat Abdul Hadi - Takiyuddin
Muhafandi Muhamad
Januari 9, 2022 05:15 MYT
Januari 9, 2022 05:15 MYT
KOTA BHARU: Pas pusat mengingatkan pimpinan negeri supaya berpegang kepada amanat Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menetapkan pendirian memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata dalam soal tersebut semua pimpinan Pas negeri dan kawasan perlu merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi sebelum ini.
“Pada dasarnya bagi saya isu MN dan PN, sila rujuk kepada semua kenyataan YAB Tan Sri Presiden… itu pendirian Pas.
“Yang lain dari itu (adalah) pandangan peribadi. Pendirian Pas berdasarkan tulisan dan kenyataan presiden, itu keputusan yang mengikat pimpinan dan ahli Pas,” jelasnya.
Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan yang bakal berlangsung antara Pas dan UMNO Kelantan pada 22 Januari depan.
Pertemuan yang diminta oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu antara lain adalah untuk membincangkan hala tuju Pas Kelantan samada mahu bersama PN atau kekal dengan semangat MN.
Ini kerana UMNO Kelantan menegaskan tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang sekiranya parti itu kekal bersama PN yang turut disertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sebelum itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta agar UMNO tidak meletakkan syarat kepada Pas memilih Bersatu atau UMNO.
Pas dan UMNO Kelantan dijangka mengadakan pertemuan 22 Januari ini bagi membincangkan hala tuju parti.