Isu MB Selangor: Hanya Wan Azizah, memang tiada pelan 'B' - Azmin

Wan Syamsul Amly
Ogos 23, 2014 07:30 MYT
AZMIN: Apa yang akan jadi seterusnya dalam isu krisis MB Selangor hanya akan ditentukan Sultan Selangor sendiri Foto Hiekal Rosli
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyifatkan tiada pelan alternatif dibuat berhubung isu pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Tegasnya, apa akan jadi seterusnya dalam isu ini hanya akan ditentukan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah sendiri.
"Kita harus beri peluang kepada Tuanku untuk membuat keputusan, janganlah buat macam-macam tafsiran.
"Ini masalahnya, kita mendahului Tuanku. Sultan ada seorang sahaja dan jangan jadi seperti jurucakap Tuanku. Kita kena hormat Institusi Raja-raja Melayu, patuh kepada sistem dan perlembagaan, serahkan kepada Tuanku untuk membuat keputusan," katanya ketika ditemui selepas hari pertama Kongres PKR ke-10 di Stadium Malawati di sini pada Sabtu.
Mohamed Azmin diminta mengulas mengenai isu menteri besar seandainya nama Wan Azizah yang dicalon Pakatan Rakyat (PR) tidak diterima Sultan Selangor.
Sebelum ini, sumber dalaman PKR memaklumkan, Sultan Selangor mahu beberapa nama selain Wan Azizah sebagai calon menteri besar.
Sumber turut memaklumkan, kemelut itu tidak akan berpanjangan dan dijangka selesai selewat-lewatnya minggu hadapan.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata beliau sudah mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PAS kerana mencalonkannya dengan Wan Azizah sebagai calon menteri besar.
"Saya sudah menyebut saya berterima kasih kepada Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan juga PAS kerana mencalonkan saya, dan sebagai Timbalan Presiden saya patuh kepada keputusan parti saya untuk mencalonkan Wan Azizah, tetapi sekarang kita tunggulah keputusan istana," ujarnya.
Tambahnya, PR juga sudah mendapat sepakat untuk memilih Wan Azizah sebagai menteri besar selain mengakui mahu krisis ini diselesaikan segera.
"Dalam bentuk akuan bersumpah ada 30, setakat hari ini PAS tidak menandatanganinya dan yang telah dihantar ke istana ada 30.
"Kita telah mendapat majoriti, jadi sekarang ini terpulanglah kepada kebijaksanaan Tuanku Sultan melihat semua dokumentasi ini untuk membuat keputusan," jelasnya.
Sebelum ini, Wan Azizah turut dipilih sebagai calon pilihan PR bagi jawatan menteri besar dalam satu kaji selidik yang dibuat Merdeka Centre.
#Azmin Ali #Kongres PKR #Menteri Besar #Pakatan Rakyat #PAS #PKR #Selangor #Sultan Selangor #Wan Azizah
;