Isu MB Kedah: Tindakan Jemaah Diraja memanggil semua ADUN wajar - Guan Eng

Astro Awani
Februari 2, 2016 16:35 MYT
GUAN ENG: Langkah yang pertama kali diambil Istana Kedah itu menunjukkan keprihatinan Jemaah Pemangku Sultan berhubung krisis jawatan menteri besar negeri itu. -Gambar fail
Parti DAP menyambut baik langkah Jemaah Pemangku Sultan Kedah memanggil semua Ahli Dewan Undangan Negeri itu untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung krisis politik yang melanda sebelum membuat sebarang keputusan.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata langkah yang pertama kali diambil Istana Kedah itu menunjukkan keprihatinan Jemaah Pemangku Sultan berhubung krisis jawatan Menteri Besar negeri itu.
Ujarnya, tindakan Jemaah Pemangku memanggil semua ADUN Kedah, termasuk dari pembangkang itu, adalah langkah wajar kerana ia memberi peluang kepada semua wakil rakyat menyuarakan pandangan mereka bagi mewakili rakyat Kedah secara keseluruhannya.
“Saya rasa Jemaah Diraja pun cuba untuk menghormati keputusan rakyat dengan memanggil semua ADUN.
“Jadi sekarang Jemaah Diraja menghormati demokrasi, keputusan rakyat dengan memanggil semua ADUN… ini kali pertama dilakukan.
Guan berkata demikian ketika mengulas pertemuan 15 ADUN dari pembangkang Kedah, termasuk dua daripada DAP untuk menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung krisis ketidakpercayaan kepada Menteri Besar pada Selasa.
Pada Isnin, Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah serta dianggotai Tunku Laksamana Tan Sri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah meluangkan masa berbincang dengan wakil rakyat dari Barisan Nasional.
Dalam sidang media di George Town pada Selasa, Guan Eng juga mengulangi pendirian parti bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu membubarkan Dewan Undangan Negeri dan memberi hak kepada rakyat Kedah memilih kerajaan baharu, sekiranya semua kaedah menyelesaikan kemelut yang berlanjutan hampir dua minggu itu menemui jalan buntu.
“Ini saya telah nyatakan pada minggu lepas, tapi tentang apa yang akan dibawa dalam majlis jemaah diraja Kedah, saya rasa saya tak berani untuk buat spekulasi kerana ini adalah hak mutlak Jemaah Diraja.
“Kita kena hormati istana kerana kalau dititah untuk persembah, tentu tuanku-tuankulah yang akan buat pertanyaan, bukan sebaliknya. Jadi saya rasa kita kena hormati protokol dan saya tak mahu buat spekulasi tentang apa yang akan dibangkitkan dalam Jemaah Diraja.
Kemelut politik negeri Kedah bermula 20 Januari lalu apabila beberapa pemimpin UMNO bahagian yang diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah mendesak menteri besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri dan parti kerana didakwa gagal mengurus tadbir negeri dan parti tersebut.
#Jemaah Pemangku Sultan Kedah #Lim Guan Eng #Menteri Besar Kedah #Mukhriz Mahathir
;