Isu klip video pemilihan UMNO dibawa ke Lembaga Disiplin

Sinar Harian
Mac 13, 2023 12:17 MYT
Shahrir berkata, isu tersebut akan dibawa ke Lembaga Disiplin parti tersebut bagi tindakan selanjutnya. -Gambar fail
SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) memandang serius isu penyebaran video yang dilakukan oleh beberapa individu semasa sesi pemilihan Jawatankuasa Pemuda UMNO Titiwangsa baru-baru ini.
Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, isu tersebut akan dibawa ke Lembaga Disiplin parti tersebut bagi tindakan selanjutnya.
“Penyebaran video berkenaan akan membawa prasangka dan spekulasi buruk daripada kalangan orang ramai.
“Isu ini adalah besar kerana mengapa bawa alat perakam atau telefon bimbit semasa pemilihan dijalankan sedangkan ia telah dilarang oleh jawatankuasa pemilihan?
“Apa yang lebih teruk, video yang dirakam itu pula disebarkan di media sosial,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, tular lima klip video yang memaparkan dua individu iaitu Pengerusi Pemilihan JPU Titiwangsa, Zaharah Adnan dan Timbalan Pengerusi JPU UMNO bahagian itu, Datuk Shamsul Bahari yang didakwa mencuri kertas undi.
Berdasarkan klip video berkenaan, Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin bersama kumpulannya memasuki dewan pengundian bagi mendapatkan penjelasan.
Perkara tersebut akhirnya membawa kepada kekecohan yang mengakibatkan penggantungan mesyuarat pemuda kawasan itu.
Dalam perkembangan lain, Shahrir ketika ditanya tentang dakwaan wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, pihaknya belum menerima sebarang bantahan.
“Kita minta individu yang mendakwa berlaku pelanggaran tersebut untuk membuat bantahan secara bertulis bagi siasatan lanjut,” ujarnya. -Sinar Harian
#Lembaga Disiplin #Shahrir Abdul Samad #Jawatankuasa Pemilihan UMNO #curi kertas undi
;