Isu kalangan BN tidak sepatutnya dipolemik secara terbuka - Syed Ali
Astro Awani
Mac 1, 2018 21:34 MYT
Mac 1, 2018 21:34 MYT
Apa juga isu membabitkan kepentingan komponen Barisan Nasional (BN) tidak sewajarnya dipolemik secara terbuka terutama menerusi media sosial.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata apabila isu diperkatakan di media sosial, pasti akan ada satu pihak yang akan mengambil kesempatan memanipulasi keadaan.
Jelasnya, jika ada sebarang permasalahan berbangkit di kalangan anggota BN perlu diselesaikan mengikut saluran sedia ada dengan berpegang teguh kepada semangat setiakawan.
"Saya bimbang, pertikaian sesuatu isu yang turut menyentuh kepentingan BN jika diperdebatkan secara terbuka boleh memberi kesan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Seperti parti-parti politik sedia ada, mana mungkin tidak akan bergelora, begitu juga BN, tetapi kematangan dan kesepakatan BN selama ini perlu dijadikan paduan untuk menjernihkan keadaan," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Beliau juga mengingatkan, keresahan yang berlaku dikhuatiri akan dipergunakan oleh pihak berkepentingan untuk menangguk di air keruh.
"Fokus BN adalah berusaha mendekati rakyat dan memberi pemahaman yang jelas berhubung sesuatu dasar atau isu bagi memastikan kemenangan akan terus kekal pada PRU kelak.
"Ini kerana, blok pembangkang hanya menunggu kesempatan untuk memutarbelitkan sesuatu isu bertujuan meraih sokongan pengundi.
"BN terutama UMNO perlu fokus untuk memenangi PRU-14 dengan majoriti yang lebih besar berbanding PRU ke-13," ujarnya.
Tambahnya, pergeseran sesama sendiri, sedikit-sebanyak akan merencatkan kekuatan parti sedia ada.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberitahu, apabila kalangan komponen BN bertelagah sesama sendiri ia seperti tidak menghormati kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.
"Waima apa juga isu atau masalah berbangkit di kalangan anggota BN, tidak perlu mana-mana pihak untuk bertindak selaku juara.
"Sebaliknya, kesetiaan harus diberikan kepada Najib selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO untuk menanganinya seara bijaksana.
"Saya percaya sikap keterbukaan kepimpinan Najib banyak membantu kekuatan BN dan anggota parti itu sendiri," jelasnya.
Syed Ali juga mengingatkan isu pengundi Cina atau tsunami Melayu tidak wajar digembar-gemburkan menjelang PRU akan datang.
"Mengapa apabila dekat PRU, isu pengundi Cina dan Melayu dibangkitkan? Ia seperti ada agenda tertentu, ini boleh menjadi isu perkauman.
"Isu perkauman seperti itu sepatutnya sudah tidak berbangkti lagi kerana yang mengundi kelak adalah rakyat Malaysia.
"Kita sepatutnya bercakap mengenai rakyat Malaysia, bagaimana untuk membina sebuah negara bangsa yang kuat, dihormati dan dijadikan contoh," tegasnya.
#Barisan Nasional
#Najib Razak
#pengundi Cina
#pilihan raya umum
#PRU
#PRU14
#Syed Ali
#tsunami melayu
#UMNO