Isu jawatan TPM : Ini bukan kali pertama PKR jual temberang - Mohd Sharkar
UMNO Online
Februari 23, 2015 13:40 MYT
Februari 23, 2015 13:40 MYT
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yakin dan percaya bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebenarnya membuat tawaran kepada kerajaan untuk mengembalikan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai balasan buat beliau untuk meninggalkan pakatan pembangkang dan bukan sebaliknya.
Menurutnya, beliau tidak nampak sebarang faedah dan keuntungan buat kerajaan mahu pun UMNO untuk membuat tawaran yang sebegitu sehingga sanggup menyerahkan semula jawatan TPM kepada Anwar sekiranya beliau sanggup meninggalkan pakatan pembangkang.
"Pertama, Anwar seperti yang kita semua tahu, beliau sanggup berbuat apa saja demi mencapai agenda peribadinya menjadi seorang perdana menteri di negara ini. Jadi bagi saya tidak mustahil tawaran itu dibuat oleh Anwar sendiri memandangkan beliau sedar dan tahu, cita-citanya untuk menjadi PM tidak akan tercapai melalui pakatan pembangkang.
"Keduanya, jika benar Anwar ditawarkan jawatan TPM sebagai balasan meninggalkan pakatan pembangkang, mengapa baru sekarang cerita ini didedahkan oleh anaknya setelah Anwar ke penjara. Itu bukan sikap Anwar seperti yang kita kenal selama ini.
"Jika benar kerajaan membuat tawaran seperti itu, pastinya sudah lama beliau mencanangkan perkara ini kepada rakyat, kerana kita tahu dan kenal perangai Anwar bukanlah jenis orang yang pandai menyimpan rahsia.
"Dan yang ketiga, sikap Anwar yang suka menjual nama seperti ini bukan lagi sesuatu yang menghairankan. Kita imbas kembali peristiwa 16 September di mana Anwar dengan selamba menjual nama Yang DiPertuan Agong, kononnya telah merestui tindakan beliau untuk membawa lebih 30 ahli parlimen BN melompat parti menyertai pembangkang, sedangkan ianya satu pembohongan semata-mata," ujarnya kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Nurul Izzah yang mengatakan bahawa Anwar pernah ditawarkan jawatan TPM sekiranya beliau sanggup meninggalkan pakatan pembangkang.
Bagaimanapun beliau yakin bahawa rakyat di negara ini tidak lagi mudah diperdayakan dengan isu-isu seperti ini memandangkan sikap Anwar yang amat gemar berbohong dan mengada-adakan cerita yang tidak benar untuk meraih keuntungan politik.
"Kita lihat cerita sakit tulang belakang juga sudah mula kedengaran tidak sampai seminggu beliau duduk di dalam penjara. Sebelum ini kita lihat beliau sihat, berlari, menunggang basikal dan mendokong cucu tanpa sebarang masalah. Tiba-tiba cerita sakit belakang ini muncul semula. Bagi saya, ini semua skrip yang diulang tayang semula untuk meraih simpati rakyat," tegasnya.
Justeru itu kata beliau, Nurul Izzah dan ahli kepimpinan pembangkang sepatutnya lebih matang dan tidak memainkan isu seperti ini untuk mendapat publisiti murahan serta meraih simpati rakyat.
"Saya juga berpandangan isu jawatan TPM ini dimainkan oleh Nurul Izzah adalah semata-mata untuk membina semula nama Anwar memandangkan begitu hambarnya sambutan rakyat dalam isu kes liwat kedua beliau ini.
"Jadi sesuatu perlu dilakukan agar nama beliau tidak terus tenggelam dan isu-isu sebeginilah yang dijadikan umpan untuk menagih semula perhatian dan simpati rakyat," ujar beliau.