Isu Islam dan DAP, Dira jawab Wardina
Astro Awani
April 27, 2018 16:32 MYT
April 27, 2018 16:32 MYT
Exco Puteri UMNO, Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar menyanggah kenyataan yang dibuat pelakon Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot yang mendakwa DAP digunakan untuk menjadi modal menakut-nakutkan orang Islam.
Dira mendakwa apa yang dilakukan oleh pembangkang adalah memperkecilkan hak Islam dan Orang Melayu di negara ini menerusi slogan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.
Beliau mendakwa slogan yang diperjuangkan oleh DAP itu, falsafahnya terkandung Islam bukan agama rasmi sebaliknya semua agama patut disamaratakan.
"Ini bermaksud golongan murtad perlu diberi hak. Golongan liberal perlu dibebaskan. Golongan LGBT, yang jelas mencabar undang-undang agama Islam diberi sanjungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dira juga mendakwa DAP telah mencabar orang Islam dan Melayu dengan menolak rang Undang-Undang (RUU) 355 serta mengenakan syarat supaya azan diperlahankan di Pulau Pinang.
"Saya kira Wardina anggap perkara ini remeh kerana tiada falsafah maruah bangsa dan agama di parti sebelah sana.
"Tetapi bagi kami disini (UMNO & Barisan Nasional) akan tetap teguh pada perjuangan kami agar tidak runtuh dek kejarkan kuasa," katanya lagi.
Baru-baru ini, dalam satu tulisan yang dimuat naik di laman Facebook, Wardina mendakwa serangan ke atas pembangkang terutamanya DAP dilakukan semata-mata untuk menakutkan orang Melayu khususnya isu berkaitan Islam.
#Barisan Nasional
#DAP
#Dira Abu Zahar
#Islam
#Malaysia
#MalaysiaMemilih
#Melayu
#Pakatan Harapan
#PRU14
#Puteri UMNO
#RUU 355
#UMNO
#Wardina Saffiyah