Isu disiplin: Farhash, Amirudin antara yang akan diberi peringatan jaga tingkah laku
Astro Awani
Julai 25, 2019 14:32 MYT
Julai 25, 2019 14:32 MYT
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Amirudin Shari adalah antara beberapa individu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan menerima surat peringatan oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, mereka juga akan diminta supaya memberi penjelasan atas beberapa kenyataan bersifat kontroversi yang telah mereka keluarkan.
"Selaras dengan Resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan Keadilan yang berlangsung di Port Dickson baru-baru ini, Lembaga Disiplin akan berusaha memperkukuhkan disiplin dan perpaduan parti dengan menggalakkan usaha-usaha perdamaian dan meredakan pertikaian.
"Atas nasihat daripada Biro Politik Keadilan, Lembaga Disiplin akan menghantar surat kepada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Amirudin Shari serta beberapa orang yang lain bagi memberi peringatan dan nasihat supaya menjaga tingkah laku sebagai pemimpin dan mengutamakan perpaduan parti," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Lembaga Disiplin PKR berhak mengambil tindakan berdasarkan tatacara disiplin parti sekiranya peringatan yang diberikan tidak mendapat respon yang positif daripada pihak-pihak yang terlibat.
#Amirudin Shari
#disiplin
#Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
#Lembaga Disiplin PKR
#PKR
#politik
#tatatertib