Isu 'dilanyak': 'Saya hanya nyatakan kekecewaan' - Ismail Sabri
Fareez Azman
Februari 10, 2023 16:52 MYT
Februari 10, 2023 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini tampil menjelaskan mengenai kenyataan 'dilanyak' oleh partinya sendiri dalam satu wawancara bersama akhbar berbahasa Melayu, baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata, kenyataan tersebut merujuk kepada kekecewaannya yang tidak pernah ditunjukkan selama ini.
Malah, beliau menjelaskan, laporan yang diterbitkan Astro AWANI sebelum ini mengenai wawancara itu juga tidak tepat.
"Rujukan yang dipetik laporan-laporan tersebut telah menyimpang daripada wawancara saya bersama Mingguan Malaysia pada 5 Februari 2023.
"Dalam wawancara itu, saya hanya menyatakan kekecewaan yang tidak pernah ditunjukkan selama ini," jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, ketika itu beliau ditekan oleh pemimpin partinya sendiri seperti beliau bukan Perdana Menteri dari UMNO.
"Saya Perdana Menteri (dari) UMNO. Untuk mengukuhkan UMNO masa itu, daripada 29 menteri kabinet, 14 daripadanya adalah menteri Barisan Nasional (BN) walaupun kita hanya ada 42 kerusi Parlimen.
"Tetapi waktu itu saya ditekan oleh pemimpin parti sendiri seperti saya bukan Perdana Menteri dari UMNO. Saya dilanyak waktu itu. UMNO seolah-olah pembangkang waktu itu.
"Ini yang saya maksudkan dalam wawancara saya bersama media tempoh hari," jelasnya lagi dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Jumaat.
Sebelum ini, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu sebagai pandangan peribadi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menjelaskan walaupun BN memenangi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun situasi parti itu ketika ini tidak boleh disamakan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri.