Isu Daily Express: Pembangkang tiada modal, ulang cerita sudah selesai - Ismail Sabri

Wan Syamsul Amly
April 14, 2015 03:30 MYT
ISMAIL: Isu Daily Express: Pembangkang tiada modal, ulang cerita yang sudah selesai - Gambar fail
Beberapa portal pro-pembangkang dilihat sengaja mencari isu murahan dengan berkongsi keratan berita daripada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disalah tafsir akhbar Daily Express.
Tegas Ismail, akhbar berkenaan juga sudah meminta maaf dan isu itu seharusnya diberhentikan serta merta.
"Mereka sudah minta maaf dari kenyataan 'Tidak percaya Najib, tidak percaya Allah' yang diterbitkan baru-baru ini.
"Isu itu sudah selesai, tetapi portal pro-pembangkang tidak mengeluarkan berita itu daripada laman mereka malah berkongsi dengan fitnah ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Keratan akhbar memohon maaf yang disiarkan Daily Express kerana tersalah tafsir kenyataan Ismail Sabri
Ismail mengulas tindakan beberapa portal pro-pembangkang yang tidak menarik balik berita kenyataannya yang disalah tafsir sebuah akhbar di Sabah.
Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan penafian Ismail terhadap kenyataannya yang disalah tafsir mengenai sumpah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah dibuat sebelum ini mengenai penafiannya mengenali wanita Mongolia , Altantuya Shaariibuu di dalam sebuah masjid.
Dalam pada itu kata Ismail, portal berkenaan juga berhadapan kemungkinan disaman jika masih berdegil untuk mengeluarkan berita itu daripada laman mereka.
"Saya kira isu ini sudah selesai. Saya mungkin akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang masih memainkan isu ini.
"Sekarang isu yang tidak ada diadakan. Ini Fitnah. Akhbar berkenaan juga sudah betulkan kesilapan mereka di muka depan dan kesal di atas kesilapan mereka," jelasnya.
Selain laporan terbaru ini, sebelum ini, Ismail pernah dilanda kontroversi apabila memuat naik status di laman Facebooknya yang menggesa pengguna untuk menggunakan kuasa, memboikot perniagaan yang dijalankan secara tamak yang enggan menurunkan harga barangan walaupun harga bahan api sudah turun, telah mencetuskan reaksi kurang senang pihak tertentu.
Bagaimanapun, menteri itu tampil membuat penjelasan bahawa tujuan kenyataan itu dibuat untuk meminta rakyat menggunakan kuasa dan hak mereka sebagai pengguna menekan peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan dan tidak ditujukan kepada kaum tertentu.
#Daily Express #ismail #najib #pembangkang