Isu dadah: Kempen Warisan tidak terjejas

Hasimi Muhamad
Januari 14, 2020 08:44 MYT
Mohd Shafie berkata, kerajaan telus dalam mengambil tindakan terhadap apa jua kesalahan jenayah tanpa mengira kedudukan dan pangkat. - Gambar fail
Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin penahanan beberapa individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil yang dipercayai positif dadah pada Isnin tidak menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, fokus utama parti adalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Parlimen Kimanis.
“Kita kena selesaikan masalah kita di sini. Masalah (berhubung) tangkapan, memang biasa dalam gelanggang politik suasana negara kita.
“Beberapa orang yang terbabit ada kes-kes terbabit dan ada kes-kes tertentu. Banyak yang kena tahan, tetapi ini sudah biasa. Tidak menjadi masalah dan membantutkan kita (Warisan),” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Jelasnya lagi, dengan penangkapan itu, ia menunjukkan ketelusan kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap apa jua kesalahan jenayah tanpa mengira kedudukan dan pangkat.
“Sekurang-kurangnya kita telus dalam mengambil tindakan, tidak kira apa darjat dan pangkat dalam parti. Maknanya, kerajaan sangat bertanggungjawab,” ujarnya.
BACA: ADUN Dengkil, Adhif Syan nafi ditahan polis, positif dadah
BACA: Muhyiddin serah kes ADUN ditahan kepada polis
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan pada Isnin, 17 orang ditahan dalam operasi di sebuah kondominium di Puchong, Selangor, kebanyakannya positif dadah.
Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi jaminan tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang, sekiranya didapati bersalah.
#ADUN #ADUN Dengkil #Dadah #jenayah #kerajaan #Ketua Polis Negara #Kimanis Memilih #Mohd Shafie Apdal #operasi #Parti Warisan Sabah #pilihan raya kecil #polis #politik #positif dadah #PRK Kimanis #Puchong
;