Isu Constantinople: "Itu hanya metafora, Guan Eng seperti budak-budak" - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Jun 28, 2023 13:55 MYT
Menurut Sanusi, kiasan atau metafora yang digunakan itu adalah sama ketika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa menyamakan pentadbiran DAP Pulau Pinang dengan Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum ini. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan sikap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebagai kebudak-budakan selepas ucapannya berhubung isu Constantinople yang didakwa menggalakkan “keganasan”.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Bagan itu tidak memahami konteks, maksud dan justifikasi sebenar penyampaiannya yang berbentuk bahasa kiasan atau metafora.
"Saya rasa ini satu penyakit di peringkat pimpinan DAP, apa orang lain buat semua tidak betul, semua mengancam dan bahaya untuk negara, dia justifikasi benda itu dari sudut apa pun saya tidak tahu.
"Ucapan saya tentang Constantinople itu metafora, Constantinople pun sudah tiada sekarang, (sudah) jadi Istanbul, metafora ialah kiasan, yang dikiaskan itu sangat berbeza, itu satu seni dalam pengucapan, dan orang ini tidak reti bahasa Melayu, duduk Malaysia berapa puluh tahun, Melayu pun telo (tidak boleh bertutur dengan baik) lagi.
"(Dia) bukan sahaja tidak pandai, (hendak) faham pun tidak pandai, saya rasa dia kena perbetulkan banyak sebelum bercakap tidak benar pasal orang lain," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Exco Negeri Kedah kepada Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Foyer Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.
Tambah beliau, kiasan atau metafora yang digunakan itu adalah sama ketika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa menyamakan pentadbiran DAP Pulau Pinang dengan Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum ini.
"Awak (semua) ingat (lagi) dia metafora dirinya sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz, (perkara itu) tidak salah pula, Khalifah Umar Abdul Aziz itu cucu Saidina Umar, yang terkenal khalifah ketiga, dan paling garang sekali, kenapa dia boleh ambil metafora Umar Abdul Aziz, dia bukan Islam, Khalifah Umar itu Islam.
"(Tetapi) tidak ada orang marah, ada Melayu tidak tahwan (tidak waras akal fikiran) waktu itu pergi sokong pula, seronok DAP jadi (Khalifah) Umar Abdul Aziz, last sekali jadi apa, skandal terowong, beli banglo, Khalifah Umar apa lagu (seperti) itu," dakwanya lagi.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan Guan Eng mendakwa Sanusi menggalakkan “keganasan” dengan menyamakan usaha menawan Pulau Pinang dengan penaklukan Constantinople oleh umat Islam hampir 600 tahun lepas.
Beliau turut menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat Sanusi juga berbahaya kepada Perlembagaan Persekutuan, keamanan dan juga perpaduan negara.
#Constantinople #Muhammad Sanusi Md Nor #Lim Guan Eng #metafora
;