Isu campur tangan kehakiman: Anwar minta penjelasan Muhyiddin
Astro Awani
Januari 15, 2022 18:26 MYT
Januari 15, 2022 18:26 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat penjelasan lanjut berhubung pendedahannya sebelum ini bahawa wujud cubaan untuk beliau mencampuri urusan mahkamah dalam kes-kes berprofil tinggi.
Menurut Anwar, gesaan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa tidak ada campur tangan dari pihaknya melibatkan kes-kes berprofil tinggi di negara ini.
"Kita juga menunggu dan menuntut penjelasan lanjut dari mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tatkala beliau sendiri yang mendedahkan bahawa wujudnya cubaan untuk menghubungi beliau agar mencampuri urusan mahkamah dalam kes-kes berprofil tinggi.
"Ini kerana timbulnya kemusykilan dan kecurigaan umum apakah pihak eksekutif mencampuri urusan kehakiman meski kita akui adanya hakim-hakim yang tegas dan patuh tunduk pada hukum.
"Dalam konteks yang serupa, Peguam Negara harus juga memberi respon yang tegas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Tengku Maimun menegaskan hakim-hakim tidak boleh dipengaruhi mana-mana pihak, termasuk Badan Eksekutif, ketika mereka sedang menghakimi perbicaraan.
Beliau berkata, dalam sesuatu prosiding, hakim harus mendengar hujah dan membuat keputusan berdasarkan segala bukti yang dibentangkan di mahkamah sahaja.