Isu calon PM: Anwar akan berbincang dengan Shafie Apdal
Firdaus Azil
Julai 6, 2020 14:31 MYT
Julai 6, 2020 14:31 MYT
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengenai usaha pengembalian mandat rakyat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, mandat telah diberikan kepada Anwar untuk mendapatkan sokongan semua pihak, termasuk Presiden Parti Warisan Sabah itu.
Menurut kenyataan yang ditandatangani Anwar, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu lagi, Majlis Presiden masih komited dengan pendirian asal bahawa Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri.
“Majlis Presiden telah membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan. Pakatan Harapan komited dengan pendirian asal YB DS Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, dan mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pencalonan YB DS Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.
“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak. Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada YB DS Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk YB DS Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,” kata Majlis Presiden lagi.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan telah bersetuju agar Mohd Shafie dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, dengan Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.
Tetapi, DAP dan Amanah kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan itu harus dibincangkan di peringkat kepimpinan parti masing-masing, sebelum dimuktamadkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Mohd Shafie kemudian berkata beliau akan memikirkan dahulu soal pencalonan itu, dan pada masa yang sama ingin menumpukan kepada isu rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Majlis Presiden berkata, mereka sebulat suara menolak usul Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menamatkan perkhidmatan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, dan Timbalannya Nga Kor Ming.
Selain itu, mereka berkata, jika Pilihan Raya Umum tergempar bakal berlaku, maka kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan wajar diteruskan.
#Anwar Ibrahim
#calon perdana menteri
#Dewan Rakyat
#Lim Guan Eng
#Mahathir Mohamad
#Mohamad Sabu
#Mohd Shafie Apdal
#Mukhriz Mahathir
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#Shafie Apdal