Isu calon MB UMNO hanya pandangan peribadi Khalid - Zahid

Bernama
Mac 28, 2023 15:45 MYT
Ahmad Zahid (kiri) menyifatkan kenyataan Khalid (kanan) bahawa PH condong membiarkan BN menerajui tiga negeri jika menang pada PRN akan datang hanya bersifat pandangan peribadi.
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad bahawa Pakatan Harapan (PH) condong membiarkan BN menerajui tiga negeri jika menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, hanya bersifat pandangan peribadi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu hanya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
"Tak apalah itu pandangan dia, nanti kita bincangkan dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan, dia (Khalid) pun tak ada masuk dalam itu (Sekretariat)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau mengulas laporan media bahawa Pakatan Harapan (PH) dijangka memberi ruang kepada BN meletakkan calon Menteri Besar sekiranya menang dalam PRN di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Khalid dilapor berkata calon Menteri Besar ditampilkan gabungan itu akan diteliti dan diputuskan dalam mesyuarat bersama PH.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #Khalid Abdul Samad #BN menerajui tiga negeri #Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan
;